Sabtu, 25 Disember 2010

Jalan-jalan Jengok Aslan

Hari Jumaat ialah hari yang santai buat Encik Beanie dan Puan Lucky. Kebiasaannya dihabiskan dengan aktiviti santai tanpa perlu bergegas ke sana dan ke mari. Tetapi ada kalanya sesuatu idea timbul secara spontan dan terus sahaja kami berdua bersama dengan AKS bertiga melakukan sesuatu mengikut idea tersebut.

Sedang dia menghabiskan waktu pagi menunggu ahli keluarganya bangun dari alam mimpi mereka, tiba-tiba timbul idea dalam fikiran Puan Lucky untuk ke Mesra Mall di Kerteh. Idea itu disampaikan kepada Encik Beanie yang terus sahaja bersetuju tetapi kami sama-sama merahsiakannya dari pengetahuan AKS bertiga.

Selepas Encik Beanie pulang dari menunaikan solat Jumaat dan kami semua menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh Puan Lucky, akhirnya kami terus bersiap dan bertolak ke Kerteh.

Perjalanan santai dengan hanya satu persinggahan di Rantau Abang untuk mengisi minyak dan menunaikan solat Asar. Selepas kami berdua selesai melakukan kedua-duanya dan masuk ke dalam kereta, tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang dari Masjid Rantau Abang berhampiran.

Rupa-rupanya jam di kereta Cik Putih cepat hampir dua puluh minit.

Maka kami menunaikan solat Asar sekali lagi sebelum meneruskan perjalanan ke Mesra Mall. Tibanya di sana AKS bertiga bersorak riang apabila diberitahu kami semua akan menonton wayang di Tanjung Golden Village buat pertama kalinya di mall tersebut. AKS #3 lebih kepada mengikut apa yang dilakukan oleh kakak-kakaknya sahaja.


Selepas menyemak skrin yang memaparkan filem-filem yang ditayangkan akhirnya yang tinggal hanya filem pengembaraan kanak-kanak: Narnia-Adventure of the Dawn Trader yang sesuai dari pilihan-pilihan lain iaitu Janin, Aku Masih Dara dan Hantu Mak Limah Kembali. Pilihan dibuat lebih berdasarkan kepada waktu tayangan.

AKS#1 kurang bersetuju, mungkin kerana merasakan dirinya sudah terlalu dewasa untuk cerita sedemikian. Kalau dia dapat memilih sudah pasti 'Aku Masih Dara' yang menjadi pilihan.

Puan Lucky pula melampiaskan hajatnya untuk menikmati donut Big Apple sementara menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung. Sebaik sahaja di dalam panggung kami mengambil tempat yang agak ke depan sedikit iaitu di barisan C kerana pilihan yang agak terhad ketika membeli tiket.


Lisa pada mulanya agak ketakutan dengan bunyi bising kesan bunyi dari paparan tayangan akan datang tetapi selepas Puan Lucky menutup sedikit telinganya barulah dia mula menonton dengan agak tenang.

Untuk dua jam seterusnya kami di bawa kembali ke alam fantasi Narnia dan ternyata ianya menghiburkan dan buat Lisa dia juga seperti seronok dengan pengalaman pertamanya menonton wayang. Tetapi dia lebih suka dengan 'end credits' di mana di bangun dan menari dengan gayanya sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang dimainkan.


Seterusnya kami singgah di kedai Roti Tempayan Kerteh untuk makan malam di mana Puan Lucky memesan koey teow goreng bersama dengan roti tempayan berkuah kambing untuk dirinya sementara Encik Beanie memilih untuk menkmati nasi goreng pattaya. Nina dengan pilihan berbeza kali ini, roti canai telur sementara Berg memesan lauk paprik berserta nasi putih.

Perjalanan pulang yang santai juga menyaksikan kami tiba di rumah lebih kurang pukul 1 pagi, mengakhiri satu hari yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.


...

Tiada ulasan: