Jumaat, 18 Julai 2008

Lembik Semula

Selepas beberapa hari keluar dari hospital, Puan Lucky cuba menggagahkan diri untuk pergi kerja.

Malangnya dia menjadi lembik semula.

Maka kembalilah kami ke klinik.

Sedang kami menunggu giliran terpandanglah pada senarai mereka yang menjadikan klinik tersebut sebagai panel perubatan untuk kakitangan.

Lihat nombor 46.

Mesti 'bontot' dia orang sangat mahal sehingga tersenarai di sini.

...

Selasa, 8 Julai 2008

Dibuang Caj!

Selepas botol-botol Sodium Klorida silih berganti mengosongkan isi perut mereka ke dalam saluran darah Puan Lucky maka hari ini berita gembira diterima dari doktor yang bertugas apabila ianya berjaya memulihkan kembali teman sebilik Encik Beanie ini.

Maka dengan itu, Puan Lucky boleh pulang ke rumah.

Jangkaan kami bahawa proses itu akan selesai selepas waktu makan tengahari tetapi ketiadaan doktor untuk mengesahkan kebenaran pulang ke rumah menyebabkan Encik Beanie terpaksa melepak di wad sehingga hampir waktu makan malam bersama dengan Puan Lucky.

Dalam melayan kebosanan kami menunggu kebenaran tersebut, maka terhasil kolaj seperti di bawah.

Sedang kami menunggu, tiba-tiba seorang jururawat memberitahu pesakit di sebelah katil Linda bahawa dia juga dibenarkan keluar dari hospital petang itu juga. Apabila berita itu dikhabarkan kepada anak-anaknya, kami mendengar reaksi-reaksi berikut:

"Dah boleh balik?!"

"Pasal apa cepat sangat?"

"Tak boleh duduk seminggu lagi?"

Kami hanya mendengar dari balik tabir sahaja tetapi ternyata terdapat kekecewaan di dalam nada anak-anak pesakit tersebut.

Kita mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam keluarga itu. Namun kami berharap apabila tiba masanya, tanggungjawab menjaga ibu-bapa kami akan dapat disempurnakan dengan harapan hari-hari tua mereka dapat dilalui dengan indah.

...

Isnin, 7 Julai 2008

Enam Botol Sodium Klorida.

Lanjutan dari keadaan Puan Lucky yang lembik serta keputusan Encik Beanie untuk menghantar teman sebiliknya itu ke hospital, maka membuat persiapan serba ringkas maka mereka berdua terus sahaja pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja sampai, seorang pembantu hospital membantu Puan Lucky dan membawanya dengan kerusi roda ke bilik rawatan semi-kritikal.

Puan Lucky terdampar di bilik rawatan semi-kritikal

Dalam masa lebih kurang setengah jam seorang doktor telah datang memeriksa Puan Lucky dan membuat keputusan untuk memasukkan beliau ke dalam wad untuk rawatan lanjut. Sementara itu dia terus diberi rawatan dengan memasukkan Sodium Klorida.

Encik Beanie melakukan proses pendaftaran dan diberitahu bahawa wad kelas pertama masih penuh dan Puan Lucky akan dimasukkan ke wad kelas dua dahulu sementara menunggu kekosongan.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Lucky telah dihantar ke wad 5EF dan proses penerimaannya dilakukan dengan masa yang agak pantas. Kedudukan hospital di tepi Pantai Batu Buruk membolehkan angin laut yang segar bertiup masuk ke dalam wad.

Selera makan sudah terbuka buat Puan Lucky

Di samping Sodium Klorida Puan Lucky juga diberikan ubat penahan muntah. Hanya selepas itu sahajalah dia mampu tidur dengan agak nyenyak. Encik Beanie dimaklumkan sekurang-kurangnya enam botol sodium klorida akan dimasukkan ke dalam tubuh Puan Lucky.

Tapi ada seorang budak yang memang suka masakan hospital. Tugas menghabiskan makan malam Puan Lucky diberikan kepadanya.

Mungkin Dia telah membuka pintu rezeki, di waktu petang seorang jururawat yang bertugas memberitahu bahawa satu kekosongan telah ada di wad kelas pertama tetapi untuk bilik berempat.

Encik Beanie enterprem bersama dengan punggung Puan Lucky.

Maka Puan Lucky dipindahkan ke wad berkenaan selepas solat Maghrib. Ianya berhampiran tingkap maka ianya memudahkan untuk Puan Lucky mendapatkan udara yang segar.

Ketika ini AKS berdua sudah datang bersama dengan nenek dan datuk mereka membawa bersama keperluan Puan Lucky sepanjang beliau berada di hospital ini.

Encik Beanie bersama dengan AKS berdua terus bersama dengan Puan Lucky sehingga waktu tidur untuk budak-budak sekolah itu hampir tiba. Maka mereka mengucapkan selamat malam kepada ibu yang sudah kelihatan segar sedikit.

Harapan kami keadaan Puan Lucky akan pulih secepat mungkin.

...

Jumaat, 4 Julai 2008

Lembik

Harapan Encik Beanie untuk melihat Puan Lucky menjalani kehidupan normal semasa mengandung AKS #3 tidak kesampaian juga apabila buah hatinya itu mula menunjukkan tanda-tanda alahan yang sama ketika mengandung dua AKS yang terdahulu.

Deria baunya menjadi lebih sensitif sehinggakan Encik Beanie tidak boleh berada terlalu hampir dengannya. Begitu juga mereka yang memakai pewangi walaupun yang baunya cukup 'mild' sudah cukup untuk Puan Lucky mencapai 'chuck bucket' yang sentiasa berada di sisinya.

Selepas beberapa hari keadaan Puan Lucky tidak bertambah baik maka keputusan dibuat untuk pergi ke sebuah klinik bersalin untuk mendapatkan rawatan. Maka tinggallah Puan Lucky di bilik rawatan sambil menunggu dua botol 'IV solution' (ya ke? ada pakar perubatan boleh perbetulkan Encik Beanie?) mengalir masuk ke dalam tubuhnya.

Selepas hampir tujuh jam, keadaan Puan Lucky tidak berubah mana walaupun kelihatan segar sedikit. Kini beliau masih lagi terlantar dan sekiranya keadaan tidak berubah juga kemungkinan besar Encik Beanie akan menghantarnya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan dan rehat yang lebih optimum.

...