Sabtu, 21 Ogos 2010

Kami Benak!

Adakah ianya satu pengakuan dari Puan Lucky dan Encik Beanie?

Tidak, tidak sama sekali.

Tetapi itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) kepada kami.

Apakah puncanya?

Sebagaimana biasa pada bulan Ramadhan, para pelajar dibenarkan pulang setiap hujung minggu untuk berbuka puasa bersama dengan ibubapa atau penjaga masing-masing. Tidak ketinggalan juga Berg.

Sebelum menghantar Berg pulang semula ke asrama, Puan Lucky menyediakan juadah untuk dijadikan bekalan berbuka puasa dari rumah. Adakah ianya rasuah untuk Berg pulang ke asrama? Rasa-rasanya tidak kerana juadah itu dibuat dengan penuh kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Namun proses tersebut agak lambat sedikit dan ketika kami tiba di SMAAZA pintu pagarnya telah ditutup. Memang jelas tertera dalam peraturan bahawa waktu melawat hanya sampai pukul 6 petang sahaja. Memang jelas kami sudah melakukan kesalahan.

Maka Puan Lucky keluar dari kereta menemani Berg sambil turut membawa barang dan bekalan untuk menghantarnya ke asrama.

Entah mengapa timbul kegatalan di pihak Encik Beanie untuk pergi bertanya kepada lelaki yang mungkin pengawal keselamatan itu (Dia tidak memakai uniform pengawal keselamatan) mengapa di bulan puasa ini tidak diberi sedikit fleksibiliti kepada para ibubapa yang tiba lewat untuk menghantar anak mereka terus ke asrama kerana kebiasaannya mereka membawa barangan serta juadah dari rumah.

Tambahan pula ianya hanyalah undang-undang manusia yang boleh diubah atas budi-bicara seseorang yang mempunyai pertimbangan seorang manusia yang tidak dipengaruhi iblis dan syaitan yang sudah dirantai sepanjang Ramadhan ini.

Antara jawapan-jawapan yang diberikan ialah:

"Saya hanya menjalankan tugas."

"Ibu bapa tidak perlu memasak kerana makanan sudah disediakan di dewan makan."

Dab yang paling menyayat hati:

"Ibu bapa yang lewat menghantar anak ni memang tergolong dalam golongan orang-orang yang BENAK!"

"Benak?!"
"Benak?!"
"Dia kata aku benak?!"

Kalaulah Encik Beanie seorang yang mudah hilang pertimbangan memang sudah pasti berlaku sesuatu yang buruk. Namun mujurlah dia masih mampu mengawal perasaannya dan apabila Puan Lucky sampai ke kereta semula Encik Beanie turut sama masuk ke dalamnya.

Maka berlalulah sepasang suami-isteri yang benak pulang ke rumah mereka.


...

Tiada ulasan: