Isnin, 10 Januari 2011

Selamat Pulang




Welkam bek.....
Untuk seorang kawan lama yg berada di negara kiwi selama beberapa tahun untuk mendapatkan panggilan Dr....
Apa yang berubah? 
Kawan ini dah nak ada title Dr...saya pula bertukar status daripada ibu beranak dua kepada ibu beranak tiga sepanjang kami berpisah... 
Walaubagaimana pun itu sudah boleh dikira satu kemajuan buat saya dan banyak kemajuan buat Dr Akmalia Mohamad Ariff (to be)....

Isnin, 3 Januari 2011

Tahun Baru, Sekolah Baru

Rentetan kemenangan pasukan Malaysia dalam Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini telah menyaksikan rakyat Malaysia diberi 'bonus' dalam bentuk cuti umum pada hari Jumaat, 31-12-2010.

Tetapi pada hari tersebut warga Terengganu sudah pun berhujung minggu. Lantas untuk membolehkan semua rakyat Malaysia termasuk juga yang berada di Terengganu, Perlis dan Kelantan mendapat menikmati habuan Harimau Malaya, maka cuti tersebut dibawa kepada hari Ahad, 02-01-2011.

Ianya sekaligus menganjak permulaan hari bersekolah kepada hari berikutnya, di mana buat kali pertama dalam masa beberapa tahun hari pertama persekolahan di seluruh negara bermula pada hari yang sama.

Lantas Puteri Bongsu Puan Lucky dan Encik Beanie turut memulakan hari pertamanya di suasana baru Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) lewat sehari dari yang dijadualkan.


Selepas menghantar AKS#2 di sekolahnya pada jam 6.50 pagi (Rasa seperti di Lembah Kelang pulak) Encik Beanie memandu Che Mat di jalanraya yang masih lagi belum sibuk. Tetapi sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah, kenderaan mulai banyak.


Dengan sebuah sekolah rendah berjiran dengan SHAMS maka kami berdua tidak hairan dengan keadaan tersebut. Sudah pasti ramai ibubapa turut sama menghantar anak-anak mereka yang berada di Tahun Satu di sekolah berkenaan lantas menyaksikan bilangan kenderaan yang banyak itu.


Proses pendaftaran mudah dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SHAMS, Ustaz Rosli banyak membantu. Ianya menyaksikan Puan Lucky dan Encik Beanie meninggalkan perkarangan sekolah tersebut sebelum perhimpunan pagi bermula.

Selepas setahun yang 'traumatik' di SMAAZA buat Puteri Bongsu mereka, maka Puan Lucky dan Encik Beanie berharap agar suasana di sekolah baru ini lebih sesuai dengan Berg dan menamatkan segala permasalahan dan rungutan yang sering ditimbulkan ketika berada di sekolah lamanya itu.

Mudah-mudahan begitulah kehendakNYA jua.


...

Sabtu, 25 Disember 2010

Jalan-jalan Jengok Aslan

Hari Jumaat ialah hari yang santai buat Encik Beanie dan Puan Lucky. Kebiasaannya dihabiskan dengan aktiviti santai tanpa perlu bergegas ke sana dan ke mari. Tetapi ada kalanya sesuatu idea timbul secara spontan dan terus sahaja kami berdua bersama dengan AKS bertiga melakukan sesuatu mengikut idea tersebut.

Sedang dia menghabiskan waktu pagi menunggu ahli keluarganya bangun dari alam mimpi mereka, tiba-tiba timbul idea dalam fikiran Puan Lucky untuk ke Mesra Mall di Kerteh. Idea itu disampaikan kepada Encik Beanie yang terus sahaja bersetuju tetapi kami sama-sama merahsiakannya dari pengetahuan AKS bertiga.

Selepas Encik Beanie pulang dari menunaikan solat Jumaat dan kami semua menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh Puan Lucky, akhirnya kami terus bersiap dan bertolak ke Kerteh.

Perjalanan santai dengan hanya satu persinggahan di Rantau Abang untuk mengisi minyak dan menunaikan solat Asar. Selepas kami berdua selesai melakukan kedua-duanya dan masuk ke dalam kereta, tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang dari Masjid Rantau Abang berhampiran.

Rupa-rupanya jam di kereta Cik Putih cepat hampir dua puluh minit.

Maka kami menunaikan solat Asar sekali lagi sebelum meneruskan perjalanan ke Mesra Mall. Tibanya di sana AKS bertiga bersorak riang apabila diberitahu kami semua akan menonton wayang di Tanjung Golden Village buat pertama kalinya di mall tersebut. AKS #3 lebih kepada mengikut apa yang dilakukan oleh kakak-kakaknya sahaja.


Selepas menyemak skrin yang memaparkan filem-filem yang ditayangkan akhirnya yang tinggal hanya filem pengembaraan kanak-kanak: Narnia-Adventure of the Dawn Trader yang sesuai dari pilihan-pilihan lain iaitu Janin, Aku Masih Dara dan Hantu Mak Limah Kembali. Pilihan dibuat lebih berdasarkan kepada waktu tayangan.

AKS#1 kurang bersetuju, mungkin kerana merasakan dirinya sudah terlalu dewasa untuk cerita sedemikian. Kalau dia dapat memilih sudah pasti 'Aku Masih Dara' yang menjadi pilihan.

Puan Lucky pula melampiaskan hajatnya untuk menikmati donut Big Apple sementara menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung. Sebaik sahaja di dalam panggung kami mengambil tempat yang agak ke depan sedikit iaitu di barisan C kerana pilihan yang agak terhad ketika membeli tiket.


Lisa pada mulanya agak ketakutan dengan bunyi bising kesan bunyi dari paparan tayangan akan datang tetapi selepas Puan Lucky menutup sedikit telinganya barulah dia mula menonton dengan agak tenang.

Untuk dua jam seterusnya kami di bawa kembali ke alam fantasi Narnia dan ternyata ianya menghiburkan dan buat Lisa dia juga seperti seronok dengan pengalaman pertamanya menonton wayang. Tetapi dia lebih suka dengan 'end credits' di mana di bangun dan menari dengan gayanya sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang dimainkan.


Seterusnya kami singgah di kedai Roti Tempayan Kerteh untuk makan malam di mana Puan Lucky memesan koey teow goreng bersama dengan roti tempayan berkuah kambing untuk dirinya sementara Encik Beanie memilih untuk menkmati nasi goreng pattaya. Nina dengan pilihan berbeza kali ini, roti canai telur sementara Berg memesan lauk paprik berserta nasi putih.

Perjalanan pulang yang santai juga menyaksikan kami tiba di rumah lebih kurang pukul 1 pagi, mengakhiri satu hari yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.


...

Ahad, 19 Disember 2010

10 + 4 atau 15 - 1 atau 7 x 2

Dalam diam tak diam dah empat belas tahun Puan lucky dan Encik Beanie bersama. Suatu majlis aqad nikah yang ringkas dan sederhana pada hari ini dalam tahun 1996 menyaksikan penyatuan hati sepasang lelaki dan wanita yang seterusnya berterusan sehingga hari ini.

Puan Lucky dan Encik Beanie memanjat syukur kepada-NYA dengan kurniaan cahayamata dan zuriat yang diharapkan akan menjadi insan yang menjadi manusia. Namun untuk sambutan ke 14 ketiga-tiga cahayamata tersebut ditinggalkan di rumah meninggalkan mereka berdua sahaja menikmati hidangan makan malam.




Walaupun kami lebih suka menikmati makanan di luar untuk menikmati udara malam yang segar dan dingin tetapi angin monsun yang agak kuat serta hujan yang turun secara rintik-rintik membuatkan kami memilih untuk menikmati hidangan makan malam kami di dalam.

Ianya hidangan makan malam ulangtahun perkahwinan yang ringkas. Puan Lucky memilih untuk menikmati 'lamb rack' sementara 'grilled salmon served with pasta' menarik selera Encik Beanie.

Perkhidmatan yang diberikan ternyata tidak mengecewakan dan kami tidak perlu menunggu lama untuk menikmati hidangan yang dipesan. Ternyata ianya tidak mengecewakan dan bersesuaian dengan harga yang dikenakan.

Hidangan tersebut mengenyangkan dan kami berdua mengambil masa untuk menikmati sepenuhnya kesedapannya, tambahan pula memang tiada apa yang perlu dikejarkan dan kami percaya AKS pertama sudah mampu memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua adiknya.

Selepas hidangan selesai disudahkan kami menikmati pula 'Tiramisu' yang pesan sebagai hidangan pencuci mulut. Ianya dihidangkan bersama dengan ulas-ulas limau serta hirisan-hirisan epal yang disusun kemas.

Ianya menyempurnakan hidangan makan malam Puan Lucky dan Encik Beanie yang sudah pasti akan membawa AKS Bertiga di masa yang akan datang untuk sama-sama menikmati hidangan di sini.

Tetapi untuk malam ini biarlah ianya menjadi pentas romantis kami berdua dalam menghangatkan rasa cinta yang didoakan agar terus berkekalan hingga akhir hayat.


......

Ahad, 31 Oktober 2010

Pergi Belayar! Bahagian ke 2

Puan Lucky dan Encik Beanie dah pergi belayar naik bot F36 Piala Monsun bertanding dalam Piala Teluk Warisan.


Bacalah semuanya kat sini.

Memang best sangat!

...

Isnin, 25 Oktober 2010

Pergi Belayar!

Telefon bimbit Encik Beanie berbunyi pada petang semalam.

"Ada team tarik diri, malam ni briefing pukul 8 di Ri-Yaz."

Ianya suatu permulaan kepada sesuatu yang tidak disangka oleh Encik Beanie & Puan Lucky. Mereka akan menyertai versi lokal pertandingan Piala Monsun yang dinamakan Piala Teluk Warisan.

Memang sudah lama kami ingin belayar di atas kapal layar yang digunakan untuk pertandingan yang paling berprestij dalam kalendar World Match Racing Tour itu. Sejak Piala Monsun diperkenalkan dalam tahun 2005 memang sudah ada niat di dalam hati untuk menaikinya, walaupun sebagai penumpang.

Namun panggilan dari rakan sekolah Encik Beanie itu telah membuka peluang buat kami bukan sekadar belayar tetapi juga bertanding di dalam suatu kejohanan. Ianya suatu peluang yang jarang datang, terutama dengan keadaan fizikal yang semakin bertambah usianya.

Malam itu selepas menghantar AKS berdua (#2 & #3) ke rumah nenek mereka, Encik Beanie & Puan Lucky bersama dengan rakan-rakan sekolah Encik Beanie masuk ke sebuah bilik yang akan digunakan untuk sesi penerangan mengenai pertandingan tersebut.

Ternyata penerangan yang diberi oleh Encik David Mills terang dan jelas, pada masa yang sama menaikkan semangat Puan Lucky untuk menyertai pertandingan tersebut. Dilihat pada para peserta lain, ianya nyata pasukan kami ialah pasukan yang menjadi 'favourite' untuk pulang awal.


Cabaran utama untuk kami mungkin keadaan fizikal yang sudah lama tidak bergiat cergas dalam aktiviti lasak dan persediaan yang singkat sudah pasti akan membuatkan kami lebih sukar untuk bersedia sepenuhnya.


Tetapi bak kata 'Wonderpets': "Apa yang penting, kerjasama!" maka itu yang kami ingin lakukan pada hari Jumaat, 29-10-2010. Tetapi pada masa yang sama ialah mendapat keseronokan dalam menyertai pertandingan ini.


Setelah dipersetujui ramai maka lahirlah:


untuk memberi saingan kepada pelayar-pelayar lain untuk memenangi pertandingan Piala Teluk Warisan, Edisi Piala Monsun 2010.

Doakan kejayaan dan yang paling utama keselamatan kami!


...

Jumaat, 8 Oktober 2010

Bersua Lantas Merasa

Sudah lama acara SuaRasa TV9 tidak diadakan di Terengganu, kalau tidak salah kali terakhir ialah pada tahun 2008 di Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man. Encik Beanie turut hadir ketika itu dan  berjumpa dengan beberapa personaliti dari stesen TV itu.



Kini acara itu kembali lagi ke Kuala Terengganu tetapi di venue yang berlainan pula. Kali ini ianya diadakan di sebuah lokasi yang baru iaitu di Pulau Warisan. Kalau sesiapa bertanya, Pulau Warisan? Mana tu? Mereka boleh dimaafkan.

Ini disebabkan oleh Pulau Warisan ialah sebuah pulau buatan manusia di sebuah kawasan yang ditebusguna di belakang Kampung Cina. Pulau tersebut dipisahkan dari tanah besar oleh sebuah terusan yang akan digunakan oleh bot persiaran yang akan membawa para pelancung meninjau persekitaran Bandaraya Kuala Terengganu dari muara Sungai Terengganu.

Pulau buatan tersebut dihubungkan dengan Kampung Cina oleh tiga buah titian, dua daripadanya boleh digunakan oleh kenderaan bermotor sementara sebuah lagi khusus untuk pejalan kaki.


Cuaca ketika kami tiba panas terik dan selepas meletakkan Che Mat di tempat dikhaskan kami melangkah ke tempat di mana acara-acara diadakan. Sekiranya pada tahun 2008 personaliti-personaliti seperti Adruce dan Didie Alias menjadi tumpuan, kali ini tumpuan para pengunjung llebih kepada bintang Hikayat Putera Shazlan, Fimie dan beberapa orang peserta Idola Kecil.


Tumpuan kanak-kanak dan orang dewasa juga pasti tertumpu kepada watak kartun Upin & Ipin yang berada di sebuah gerai penaja rancangan tersebut. Ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kenangan bersama dengan Upin & Ipin sehingga barisan peminat menjadi agak panjang walaupun di tengah cuaca yang panas terik itu.



Kesian juga kepada para pelakon yang terpaksa membawa watak Upin & Ipin itu. Cuaca yang panas sudah pasti membuatkan mereka tidak selesa di dalam kostum karekter tersebut namun sebagai profesional ianya suatu cabaran yang harus diterima.


Selain dari mereka terdapat juga beberapa orang personaliti lain yang turut sama memeriahkan acara tahun ini. Antaranya ialah penyanyi dan pengacara Alif Sattar yang terkenal dengan lagu "Please, Please, Please... kamu jangan nakal..." yang agak kelakar pada mulanya tetapi lama-kelamaan menjadi tarikan pula kepada pendengarnya.


 

Selain dari gerai-gerai tersebut terdapat juga kawasan di mana gerai-gerai para peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai barangan diniagakan dari hasil tanaman dan ladang sehinggalah pakaian serta kenderaan.



Tidak banyak yang dibeli kerana memang tujuan asal kami hanyalah untuk meninjau acara tersebut secara lebih dekat. Konsert yang membariskan penyanyi-penyanyi seperti Saleem, Yasin dan beberapa orang lagi akan diadakan pada malam esok, tetapi sudah pasti tidak akan dihadiri oleh Encik Beanie kerana dia akan berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2010 di antara T-Team menentang Felda United.


...