Memaparkan catatan dengan label Coretan Encik Beanie. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretan Encik Beanie. Papar semua catatan

Rabu, 2 Februari 2011

Arnab Sudah Datang lor

Perayaan Tahun Baru Cina disambut dengan meriah di Kuala Terengganu. Tumpuan sambutan sudah semestinya di Kampung Cina yang kini sudah berwajah baru dengan siapnya fasa 1 projek penebusan semula tanah yang kini sudah membentuk sebuah pulau baru yang dinamakan Pulau Warisan.

Encik Beanie berjalan tanpa Puan Lucky malam itu. Laluan melalui Kampung Cina ditutup untuk lalu-lintas. Ianya menjadi laluan pejalan kaki bermula dari Pasar Kedai Payang sehingga persimpangan Tokong. Beberapa kedai dihias cantik dalam pertandingan 'Hiasan Tercantik Sambutan Tahun Baru Cina'.

Ketika Encik Beanie tiba sebuah okestra Cina sedang membuat persembahan lagu-lagu sambutan tahun baru. Okestra tersebut dianggotai oleh para remaja yang mempunyai bakat dalam memainkan instrumen yang berkaitan.

Selepas menikmati persembahan musik Encik Beanie berjalan-jalan lagi. Di sebuah kedai, suatu demonstrasi kaligrafi Cina sedang dijalankan. Mungkin juga ianya bertujuan untuk pertandingan di mana banyak kain merah yang ditulis dengan kaligafi Cina dipertontonkan.

Seperti juga Seni Khat Jawi, kaligrafi Cina ialah suatu cabang seni yang amat menarik untuk diterokai.

Sedang Encik Beanie leka memerhatikan demonstrasi kaligrafi tersebut, terdengar pula bunyi gendang yang dipalu dengan kuat dari arah sebuah pentas yang didirikan di sebuah kawasan lapang. Rupa-rupanya malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan akrobat dari pengamal akrobat dari China.

Persembahan mereka amat bertenaga dan apa yang dilakukan amat menakjubkan. Sudah pasti ianya hasil dari sifat dedikasi kepada rutin dan latihan yang tidak berbelah bahagi sejak dari usia muda lagi.

Malam tahun baru Cina yang meriah ini merupakan peluang untuk para peminat foto untuk merakamkan saat indah dan menarik tersebut menggunakan gajet mereka. Di samping itu tidak kurang juga yang datang bersama model mereka sendiri yang menggunakan kesempatan tersebut untuk menimba pengalaman beraksi di khalayak ramai.

Encik Beanie lebih suka merakamkan suasana secara kandid dan juga suasana persekitaran yang berlaku ketika itu kerana ianya lebih menarik.

Buat semua masyarakat Cina, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina!


...

Sabtu, 25 Disember 2010

Jalan-jalan Jengok Aslan

Hari Jumaat ialah hari yang santai buat Encik Beanie dan Puan Lucky. Kebiasaannya dihabiskan dengan aktiviti santai tanpa perlu bergegas ke sana dan ke mari. Tetapi ada kalanya sesuatu idea timbul secara spontan dan terus sahaja kami berdua bersama dengan AKS bertiga melakukan sesuatu mengikut idea tersebut.

Sedang dia menghabiskan waktu pagi menunggu ahli keluarganya bangun dari alam mimpi mereka, tiba-tiba timbul idea dalam fikiran Puan Lucky untuk ke Mesra Mall di Kerteh. Idea itu disampaikan kepada Encik Beanie yang terus sahaja bersetuju tetapi kami sama-sama merahsiakannya dari pengetahuan AKS bertiga.

Selepas Encik Beanie pulang dari menunaikan solat Jumaat dan kami semua menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh Puan Lucky, akhirnya kami terus bersiap dan bertolak ke Kerteh.

Perjalanan santai dengan hanya satu persinggahan di Rantau Abang untuk mengisi minyak dan menunaikan solat Asar. Selepas kami berdua selesai melakukan kedua-duanya dan masuk ke dalam kereta, tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang dari Masjid Rantau Abang berhampiran.

Rupa-rupanya jam di kereta Cik Putih cepat hampir dua puluh minit.

Maka kami menunaikan solat Asar sekali lagi sebelum meneruskan perjalanan ke Mesra Mall. Tibanya di sana AKS bertiga bersorak riang apabila diberitahu kami semua akan menonton wayang di Tanjung Golden Village buat pertama kalinya di mall tersebut. AKS #3 lebih kepada mengikut apa yang dilakukan oleh kakak-kakaknya sahaja.


Selepas menyemak skrin yang memaparkan filem-filem yang ditayangkan akhirnya yang tinggal hanya filem pengembaraan kanak-kanak: Narnia-Adventure of the Dawn Trader yang sesuai dari pilihan-pilihan lain iaitu Janin, Aku Masih Dara dan Hantu Mak Limah Kembali. Pilihan dibuat lebih berdasarkan kepada waktu tayangan.

AKS#1 kurang bersetuju, mungkin kerana merasakan dirinya sudah terlalu dewasa untuk cerita sedemikian. Kalau dia dapat memilih sudah pasti 'Aku Masih Dara' yang menjadi pilihan.

Puan Lucky pula melampiaskan hajatnya untuk menikmati donut Big Apple sementara menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung. Sebaik sahaja di dalam panggung kami mengambil tempat yang agak ke depan sedikit iaitu di barisan C kerana pilihan yang agak terhad ketika membeli tiket.


Lisa pada mulanya agak ketakutan dengan bunyi bising kesan bunyi dari paparan tayangan akan datang tetapi selepas Puan Lucky menutup sedikit telinganya barulah dia mula menonton dengan agak tenang.

Untuk dua jam seterusnya kami di bawa kembali ke alam fantasi Narnia dan ternyata ianya menghiburkan dan buat Lisa dia juga seperti seronok dengan pengalaman pertamanya menonton wayang. Tetapi dia lebih suka dengan 'end credits' di mana di bangun dan menari dengan gayanya sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang dimainkan.


Seterusnya kami singgah di kedai Roti Tempayan Kerteh untuk makan malam di mana Puan Lucky memesan koey teow goreng bersama dengan roti tempayan berkuah kambing untuk dirinya sementara Encik Beanie memilih untuk menkmati nasi goreng pattaya. Nina dengan pilihan berbeza kali ini, roti canai telur sementara Berg memesan lauk paprik berserta nasi putih.

Perjalanan pulang yang santai juga menyaksikan kami tiba di rumah lebih kurang pukul 1 pagi, mengakhiri satu hari yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.


...

Khamis, 26 Ogos 2010

Popiah Yang Diidamkan

Hari Khamis menyaksikan AKS#1 pulang dari asrama SMAAZA untuk berpuasa bersama-sama Puan Lucky dan Encik Beanie di rumah. Salah satu permintaan darinya ialah untuk menikmati popiah basah yang dibeli di Bazaar Ramadhan Shahbandar.


Sebagaimana biasa untuk memenuhi permintaan Puteri Bongsunya, maka Puan Lucky bersama ketiga-tiga AKS pergi ke bazaar tersebut. Encik Beanie menunggu di dalam kereta kerana ketiadaan ruang meletak kereta.


Sebaik sahaja misi itu berjaya disudahkan maka Puan Lucky kembali semula ke kereta tetapi mendapati kereta berkunci sementara Encik Beanie sedang menikmati suasana petang bersama Cik Dinaiti-nya.

Walaupun nasi belum ditanak untuk iftar, Puan Lucky menurut sahaja apabila Encik Beanie meminta AKS bertiga beraksi di hadapan Cik Dinaiti. Tetapi Encik Beanie tidak mengambil masa yang lama, sekadar merakam beberapa 'shot' yang boleh memuaskan hatinya sahaja.


...

Isnin, 26 April 2010

Jalan-Jalan Bersama

Hari ini Encik Beanie berjalan-jalan di bandar kT bersama dengan Puan Lucky dan dua AKS. Hujan yang turun sejak dari petang semalam menjadikan pagi waktu yang sungguh indah untuk bergolek-golek di katil.

Maka itulah yang dilakukan oleh Encik Beanie sehinggalah Puan Lucky pulang dari kolej untuk makan tengahari bersama. Selepas mengisi perut dengan ala kadar kami menyelesaikan beberapa perkara yang perlu diselesaikan, termasuklah mengambil 'permainan' Encik Beanie yang terbaru.


Selepas itu giliran Nina pula yang perlu diambil dari sekolahnya dan seterusnya kami membeli-belah untuk barangan keperluan di Pasaraya Giant. Memang seronok berjalan-jalan begini.

Isnin, 22 September 2008

Berbuka Di Luar

Kebiasaan pada bulan Ramadhan banyak majlis berbuka puasa diadakan sama ada di restoran ataupun hotel. Ianya mungkin memberikan variasi kepada rutin berbuka puasa di rumah yang mungkin selepas dilakukan berhari-hari akan menjadi agak menjemukan.

Tetapi tahun ini keadaan Puan Lucky tidak begitu mengizinkan untuk berbuka di luar. Tetapi mungkin disebabkan sudah agak jemu dengan berbuka di rumah maka Puan Lucky gagahkan juga dan semalam kami pergi ke sebuah restoran di Gong Badak.

Inilah dia restoran yang dimaksudkan; BB Seafood Garden. Rasanya ianya pernah diceritakan beberapa bulan dahulu ketika kami sekeluarga makan 'steam-boat'.

Kali ini tiada steam-boat tetapi lebih kepada lauk-pauk yang boleh memenuhi selera ketika berbuka puasa. Di atas ialah ikan tiga rasa...

...daging masak merah...

...telur dadar...

...dan sayur-sayuran.

Juga tom yam putih yang tidak pedas kerana AKS berdua dan Encik Beanie memang tidak tahan pedas. Sebagai pencuci mulut sepiring buah-buahan yang dengan mudahnya dikuasai oleh Nina dan Berg.

Namun suasana tenang berbuka puasa terganggu apabila ada para pelanggan yang 'kurang sifat prihatin' (kena guna bahasa sopan di bulan mulia ini...) yang merokok dalam bilik berhawa dingin.

Adakah patut?

Entahlah.

...

Sabtu, 20 September 2008

Sebuah Ciuman

Berciuman tidak digalakkan dalam bulan Ramadhan.


Tapi Encik Beanie berkeras hendak bercium jugak.


Tetapi ciuman itu bukan untuk Puan Lucky.


Sebaliknya ianya dibuat ke atas bontot sebuah lori.


ARRGGGGHHHHH!!!

keadaan Cik Mat selepas mencium bontot lori

Belanjawan baju raya Encik Beanie hangus.
Maka ingatlah semua, jangan bercium di bulan puasa ini.

...

Jumaat, 5 September 2008

Jom Makan Ais-Krim!

Adalah suatu malam tetiba sahaja rasa nak pekena ais-krim McD pulak. Maka Encik Beanie bersama-sama dengan AKS berdua terus sahaja ke sana dan kemudiannya lepak di tepi jalan untuk menikmati ais-krim tersebut.

Puan Lucky sebagaimana biasa sekarang ini tidak dapat menyertai acara ini.

Aktiviti ini hanya sesuai dilakukan pada waktu malam sahaja sepanjang Ramadhan ini.

Harap maklum.

...

Ahad, 17 Ogos 2008

Masuk Lagi, Keluar Lagi...

Buat kali ke-tiga Puan Lucky telah berjaya keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan hari ini buat pertama kali telah menjejakkan kaki ke tempat kerja. Namun buat seketika sahaja kerana keadaannya yang masih tidak cukup bertenaga untuk bertugas sepenuhnya.

Destinasi seterusnya ialah ke Klinik Desa untuk mendaftarkan diri Puan Lucky sebagai seorang ibu mengandung. Pada mulanya kami singgah di Klinik Kesihatan Hiliran tetapi jururawat memberitahu bahawa pendaftaran hanya boleh dibuat di Klinik Desa yang paling hampir dengan tempat tinggal.

Ianya menyebabkan beberapa persoalan timbul dalam benak Encik Beanie. Contohnya ialah:

"Bilakah semuanya boleh dibuat secara online?"

"Mengapa tiada fleksibiliti dalam proses pendaftaran?"

"Mengapa hari ini tiada jururawat yang cun bertugas?"

Mungkin sesiapa yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia boleh memberikan jawapan. Ataupun sesiapa yang pernah rajin bertanya apakah sebab-musababnya.

Pemeriksaan mengambil masa yang agak lama juga tetapi ianya digagahi juga oleh Puan Lucky. Akhirnya selepas sahaja menikmati makan tengahari dengan jumlah 'export' sudah berkurangan berbanding dengan 'import', tidak seperti dahulu, dia terus sahaja tergolek 'dog'.

Mungkin juga dipengaruhi oleh faktor memakan sesuatu yang dihantar 'by hand' terus dari negara Kiwi. Ianya suatu yang mengejutkan apabila melihat seorang lelaki berdiri di muka pintu membimbit sebuah kotak. Sebaik sahaja hilang kejutan itu maka isi kotak tersebut dinikmati dengan penuh keseronokan oleh Puan Lucky dan juga Encik Beanie.

Terima kasih Modd!

Harapannya ialah Puan Lucky akan pulih semula untuk membawa bebanan hadapannya yang semakin bertambah berat dari hari ke hari.

...

Selasa, 5 Ogos 2008

Nak Oren.

Sungguh sedap makan oren terutama kepada mereka yang mengidam. Siapa yang mengidam nih?

Sudah tentu tak lain dan tak bukan Puan Lucky.

Dia yang sudah pulang ke rumah mengidam nak makan oren pulak suatu hari tu. Mujurlah ianya sesuatu yang tidak sukar untuk diperolehi.

Zaman agak mudah untuk memperolehi barangan yang pada zaman dahulu akan menyebabkan para suami akan menggaru kepala mencari jalan bagaimana hendak memenuhi kehendak isteri yang tercinta.

Kalau kehendak isteri untuk menikmati keenakan daging rusa, ianya juga tidak begitu sukar untuk dipenuhi dengan adanya ladang ternakan rusa di Malaysia.

Ada para ibu/bapa yang sudi berkongsi apa yang diidamkan semasa mengandung dahulu?

...




Selasa, 8 Julai 2008

Dibuang Caj!

Selepas botol-botol Sodium Klorida silih berganti mengosongkan isi perut mereka ke dalam saluran darah Puan Lucky maka hari ini berita gembira diterima dari doktor yang bertugas apabila ianya berjaya memulihkan kembali teman sebilik Encik Beanie ini.

Maka dengan itu, Puan Lucky boleh pulang ke rumah.

Jangkaan kami bahawa proses itu akan selesai selepas waktu makan tengahari tetapi ketiadaan doktor untuk mengesahkan kebenaran pulang ke rumah menyebabkan Encik Beanie terpaksa melepak di wad sehingga hampir waktu makan malam bersama dengan Puan Lucky.

Dalam melayan kebosanan kami menunggu kebenaran tersebut, maka terhasil kolaj seperti di bawah.

Sedang kami menunggu, tiba-tiba seorang jururawat memberitahu pesakit di sebelah katil Linda bahawa dia juga dibenarkan keluar dari hospital petang itu juga. Apabila berita itu dikhabarkan kepada anak-anaknya, kami mendengar reaksi-reaksi berikut:

"Dah boleh balik?!"

"Pasal apa cepat sangat?"

"Tak boleh duduk seminggu lagi?"

Kami hanya mendengar dari balik tabir sahaja tetapi ternyata terdapat kekecewaan di dalam nada anak-anak pesakit tersebut.

Kita mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam keluarga itu. Namun kami berharap apabila tiba masanya, tanggungjawab menjaga ibu-bapa kami akan dapat disempurnakan dengan harapan hari-hari tua mereka dapat dilalui dengan indah.

...

Jumaat, 4 Julai 2008

Lembik

Harapan Encik Beanie untuk melihat Puan Lucky menjalani kehidupan normal semasa mengandung AKS #3 tidak kesampaian juga apabila buah hatinya itu mula menunjukkan tanda-tanda alahan yang sama ketika mengandung dua AKS yang terdahulu.

Deria baunya menjadi lebih sensitif sehinggakan Encik Beanie tidak boleh berada terlalu hampir dengannya. Begitu juga mereka yang memakai pewangi walaupun yang baunya cukup 'mild' sudah cukup untuk Puan Lucky mencapai 'chuck bucket' yang sentiasa berada di sisinya.

Selepas beberapa hari keadaan Puan Lucky tidak bertambah baik maka keputusan dibuat untuk pergi ke sebuah klinik bersalin untuk mendapatkan rawatan. Maka tinggallah Puan Lucky di bilik rawatan sambil menunggu dua botol 'IV solution' (ya ke? ada pakar perubatan boleh perbetulkan Encik Beanie?) mengalir masuk ke dalam tubuhnya.

Selepas hampir tujuh jam, keadaan Puan Lucky tidak berubah mana walaupun kelihatan segar sedikit. Kini beliau masih lagi terlantar dan sekiranya keadaan tidak berubah juga kemungkinan besar Encik Beanie akan menghantarnya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan dan rehat yang lebih optimum.

...

Ahad, 15 Jun 2008

Hari Bapa di BB

Kesibukan Puan Lucky menyebabkan blog ini akan terus bersawang sekiranya Encik Beanie tidak mencoret di halamannya. Terlebih dahulu kemaafan dipinta sekiranya bahasa yang digunakan agak 'skema'.

Hari ini ialah Hari Bapa di mana sesiapa yang layak menerima gelaran ayah akan diraikan oleh anak-anak yang bijak mengingati. Walaupun bukan pada hari ini sahaja para ibubapa diingati namun ianya tetap sesuatu yang wajar ditanda dalam kalendar.

Puan Lucky dan beberapa orang adik-adiknya pula telah membuat sambutan Hari Bapa lebih awal, iaitu pada hari Jumaat dengan membawa Abah menikmati makanan laut di BB Seafood Garden yang terletak di Gong Badak, berhampiran dengan Universiti Darul Iman Kampus KUSZA.

Inilah antara hidangan-hidangan yang telah dipesan dan sebagai penggemar makanan laut, Abah menikmatinya dengan bersungguh-sungguh.

Sepanjang pengetahuan Encik Beanie, BB sekarang mempunyai rangkaian tiga buah restoran. Pertama di Bukit Besar dan selepas ianya menerima sambutan sebagai tempat makan-makan yang pantas menyediakan hidangan yang dipesan serta sedap dan harga yang berpatutan, sebuah lagi dibuka di Gong Badak dengan nama BB2.

Kini restoran yang ke tiga di buka khusus untuk memenuhi citarasa mereka yang menggemari makanan laut ala-ala 'steam-boat' yang amat berkurangan di kT.

Encik Beanie bukanlah penggemar tegar makanan di atas (tidak seperti Puan Lucky) tetapi sekiranya dihidangkan pasti akan di'NGAP' juga...

...

Rabu, 28 Mei 2008

Diperkenan Jua Akhirnya.

Awal tahun ini selepas Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai Bandaraya Pesisir Air, telah timbul suatu kontroversi di mana logo Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang telah dinaikkan di ibupejabatnya di Menara PERMiNT telah diturunkan atas sebab-sebab tertentu.

Selepas hampir enam bulan kontroversi itu sudah berakhir dan kini logo MBkT dapat dilihat dengan jelas terutama pada waktu malam apabila ianya diterangi dengan lampu-lampu neon yang dipasang dengan cukup terang.

Apa yang lebih diharapkan dari pihak berkuasa bandaraya termuda di Malaysia ini ialah suatu perkhidmatan yang secara terang-terangan telah ditingkatkan dari segi kualiti dan keberkesanannya untuk dinikmati bersama oleh para warga bandaraya.

...

Sabtu, 24 Mei 2008

Kau Pemandu Keji!

Mesti ramai yang setuju kalau pemandu lori dalam gambar di bawah dilabel sebagai keji. Tidak nampakkah papan tanda menyatakan tidak boleh membuat pusingan U di sini.

Adakah dia mematuhinya?

Tentulah tidak. Kerana untuk menjimatkan masa dan beberapa titik disel sanggup dia meletakkan nyawa orang lain dalam bahaya.

Ketika dia menunggu untuk memasuki lorong bertentangan, sebahagian dari tubuh lorinya berada di dalam lorong sebelah sini, menutup sebelah lorong menyebabkan beberapa orang pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka secara tiba-tiba.

Pada waktu pagi, jalan ini ialah antara yang paling sibuk dan hanya dengan kuasa-Nya sahaja tiada sebarang kemalangan berlaku.

Mungkin pemandu yang keji ini bernasib baik dalam perkara di atas dan juga bernasib baik di tangan Encik Beanie ketika itu hanyalah sebuah kamera kompak, sekiranya ianya Nikon D-40 atau Canon EOS 450D mungkin foto-foto ini sudah berada di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu.

Kepada semua, berhati-hati di jalan raya.

...

Ahad, 13 April 2008

Kedah Juara Lagi Noo...

Kedah menjadi pasukan pertama berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Super Malaysia selepas menewaskan Terengganu 2-1 di Alor Setar serta kekalahan mengejut pencabar terdekat, Selangor di Pulau Pinang.

Keputusan malam tadi menyaksikan pasukan Kenari mengutip 53 mata. Dengan hanya tiga perlawanan berbaki selepas ini, Selangor tidak mampu memintas selepas kekalahan 4-1 di Stadium Batu Kawan itu menyaksikan mereka kekal dengan 42 mata.

Bagi pasukan Terengganu, kekalahan di Stadium Darul Aman menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke enam dengan 34 mata. Para penyokong Sang Penyu hanya mampu berharap pasukan mereka mampu memperbaiki kedudukan tersebut dengan memenangi semua tiga perlawanan terakhir Liga Super menentang dua pasukan tercorot liga, Pulau Pinang dan Sarawak serta pencabar dari selatan, Johor FC.

Sekiranya ianya berjaya dilakukan maka Terengganu akan berjaya mengakhiri persaingan Liga Super paling kurang di tangga ke lima. Ianya sudah cukup untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia di samping memburu kejuaraan Piala FA kali ke dua.

Terengganu akan bertemu Felda United di perlawanan ke dua suku akhir selepas memenangi perlawanan pertama 3-1 di Kuala Terengganu pada hari Selasa lepas.

Tahniah kepada pasukan Kedah di atas kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super. Terengganu ialah salah sebuah dari dua pasukan yang berjaya menewaskan Si Kenari musim ini apabila menang 3-1 di Kuala Terengganu pada 23 Disember, 2007.

...

Ahad, 6 April 2008

Picnic Date

Ahad ialah hari bekerja di Terengganu. Begitu juga dengan Puan Lucky. Tetapi disebabkan semester sudah hampir ke penghujung maka kuliah sudah hampir diselesaikan.

Jadi adalah peluang untuk "picnic date" bersama Encik Beanie dan anaknya, Nina yang juga merupakan anak Puan Lucky juga (kepada sesiapa yang tidak mengetahuinya).

Tidak perlu masak, cuma beli nasi bungkus dan kami bertiga pergi ke Taman Rekreasi Batu Buruk. Semua sekali dalam RM15.0 untuk lauk ayam kampung, sotong, telur ikan dan sektul ayam bersama dengan air sekali.

Gambar ala malu-malu

Selepas makan, Encik Beanie dan Puan Lucky meneruskan "dating" buat beberapa ketika sebelum masing-masing menuju haluan masing-masing.

Seronok sungguh dating-dating ni kan? Ini semua bahana dari menonton tayangan tengah malam 'Pretty Woman' malam tadi.

Kepada pasangan yang sudah lama tidak keluar dating, cepat-cepatlah buat date bersama pasangan anda kerana ianya salah satu cara meneruskan semarak cinta anda.

...

Jumaat, 4 April 2008

Arus Perubahan

Tahun ini bukan sahaja menyaksikan pertukaran di dalam arus politik negara, tetapi juga menyaksikan perubahan dalam polisi "TIADA KUCING DI DALAM RUMAH" oleh Puan Lucky.

Pagi-pagi Nina dah bersama dengan Zain.

Ianya sesuatu yang disambut dengan penuh kegembiraan oleh Nina (dan juga Encik Beanie). Sebenarnya sudah beberapa ekor kucing telah hadir di rumah kami, tetapi disebabkan oleh polisi di atas maka semuanya menghilang begitu sahaja.

Entah mengapa, rumah kami menjadi seperti stesen sentral untuk kucing-kucing datang menumpang, sejak dari Encik Beanie masih kecil lagi.

Pada suatu petang, kucing putih oren ini muncul dalam hidup kami. Apa yang lebih menggembirakan ialah ianya seperti telah di'potty-trained' kerana dia akan mencari tandas untuk 'menunaikan hajat' (salah satu faktor yang melembutkan hati Puan Lucky).

Apakah namanya?

Berg: Ning Baizura!


Mr Beanie: Mana boleh Ning Baizura, dia ni jantan. Anuar Zain bolehlah.

Puan Lucky: Mana boleh Anuar Zain!

Mr Beanie: Okeylah... kita panggil
Zain ajelah.

Berg dan Nina terus sahaja bersetuju dan Puan Lucky hanya mampu menurut sahaja. Paling tidak pun, boleh juga sekali-sekala buat seolah-olah berbual dengan Anuar Zain...

...

Khamis, 13 Mac 2008

Selamat Datang ke Dunia!

Hari ini menyaksikan Encik Beanie menerima seorang lagi cucu saudara selepas anak saudaranya Nadia selamat melahirkan seorang bayi lelaki lebih kurang pukul 8 pagi waktu Malaysia.

Uish... sapa pulak no. 014 nih?

Sebaik sahaja menerima berita itu maka bersiap-siaplah Encik Beanie dan Puan Lucky bersama dengan kedua-dua AKS serta Che' untuk pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah pada waktu melawat petang.

Che sedang menimang cicit terbarunya.

Bayi seberat 2.9 kg itu keluar untukmelihat dunia melalui kaedah biasa dan disambut dengan penuh kasih sayang oleh ibu-bapanya. Berbeza dengan abangnya yang mengalami sedikit komplikasi yang mengakibatkan sedikit gangguan sehingga hari ini.

Wajah-wajah mereka yang terpinggir kerana takde pas lawatan.

Ayahnya terus sahaja melicinkan rambutnya sebagai tanda bersyukur kepada-NYA atas anugerah tersebut. Disebabkan polisi hanya dua pelawat sahaja yang boleh masuk ke dalam wad, maka terpaksalah Encik Beanie melihat cucunya dari luar sahaja.

Puan Lucky memberi senyuman ada makna kat Encik Beanie.

Puan Lucky memang suka dengan 'baby' dan masih berharap agar akan dikurniakan rezeki untuk menimang seorang lagi cahaya mata sebelum 'tutup kedai'. Tetapi Encik Beanie masih buat tak faham (boleh ke?).

Tahniah buat Nadia dan Din di atas kelahiran seorang lagi putera ini.

...