Memaparkan catatan dengan label Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terengganu. Papar semua catatan

Khamis, 3 Februari 2011

Gi Bbeteng

Sebagaimana kebiasaan, apabila ada cuti yang panjang maka keluarga Puan Lucky akan berkumpul untuk sesi makan-makan bersama. Sempena dengan cuti Tahun Baru cina yang panjang ini, dengan quorum yang mencukupi maka satu sesi makan-makan diadakan di Bbeteng, Taman Tamadun Islam.

Nina bersama sepupu-pupunya menikmati roti telur.

Berg dengan ABC

Puan Lucky bersama dengan Encik Beanie menikmati hidangan 'ringan' sahaja

Sementara itu Lisa lebih suka untuk merayau-rayau menikmati persekitaran yang luas itu.


...

Jumaat, 8 Oktober 2010

Bersua Lantas Merasa

Sudah lama acara SuaRasa TV9 tidak diadakan di Terengganu, kalau tidak salah kali terakhir ialah pada tahun 2008 di Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man. Encik Beanie turut hadir ketika itu dan  berjumpa dengan beberapa personaliti dari stesen TV itu.



Kini acara itu kembali lagi ke Kuala Terengganu tetapi di venue yang berlainan pula. Kali ini ianya diadakan di sebuah lokasi yang baru iaitu di Pulau Warisan. Kalau sesiapa bertanya, Pulau Warisan? Mana tu? Mereka boleh dimaafkan.

Ini disebabkan oleh Pulau Warisan ialah sebuah pulau buatan manusia di sebuah kawasan yang ditebusguna di belakang Kampung Cina. Pulau tersebut dipisahkan dari tanah besar oleh sebuah terusan yang akan digunakan oleh bot persiaran yang akan membawa para pelancung meninjau persekitaran Bandaraya Kuala Terengganu dari muara Sungai Terengganu.

Pulau buatan tersebut dihubungkan dengan Kampung Cina oleh tiga buah titian, dua daripadanya boleh digunakan oleh kenderaan bermotor sementara sebuah lagi khusus untuk pejalan kaki.


Cuaca ketika kami tiba panas terik dan selepas meletakkan Che Mat di tempat dikhaskan kami melangkah ke tempat di mana acara-acara diadakan. Sekiranya pada tahun 2008 personaliti-personaliti seperti Adruce dan Didie Alias menjadi tumpuan, kali ini tumpuan para pengunjung llebih kepada bintang Hikayat Putera Shazlan, Fimie dan beberapa orang peserta Idola Kecil.


Tumpuan kanak-kanak dan orang dewasa juga pasti tertumpu kepada watak kartun Upin & Ipin yang berada di sebuah gerai penaja rancangan tersebut. Ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kenangan bersama dengan Upin & Ipin sehingga barisan peminat menjadi agak panjang walaupun di tengah cuaca yang panas terik itu.



Kesian juga kepada para pelakon yang terpaksa membawa watak Upin & Ipin itu. Cuaca yang panas sudah pasti membuatkan mereka tidak selesa di dalam kostum karekter tersebut namun sebagai profesional ianya suatu cabaran yang harus diterima.


Selain dari mereka terdapat juga beberapa orang personaliti lain yang turut sama memeriahkan acara tahun ini. Antaranya ialah penyanyi dan pengacara Alif Sattar yang terkenal dengan lagu "Please, Please, Please... kamu jangan nakal..." yang agak kelakar pada mulanya tetapi lama-kelamaan menjadi tarikan pula kepada pendengarnya.


 

Selain dari gerai-gerai tersebut terdapat juga kawasan di mana gerai-gerai para peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai barangan diniagakan dari hasil tanaman dan ladang sehinggalah pakaian serta kenderaan.



Tidak banyak yang dibeli kerana memang tujuan asal kami hanyalah untuk meninjau acara tersebut secara lebih dekat. Konsert yang membariskan penyanyi-penyanyi seperti Saleem, Yasin dan beberapa orang lagi akan diadakan pada malam esok, tetapi sudah pasti tidak akan dihadiri oleh Encik Beanie kerana dia akan berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2010 di antara T-Team menentang Felda United.


...

Ahad, 19 Julai 2009

Jom Starbucks...

Puan Lucky memang suka minum kopi butik seperti Coffee Bean, Starbucks, Gloria Jeans dan apa sahaja yang sewaktu dengannya. Tetapi di kT ni memang sukar untuk melampiaskan keinginan tersebut kerana memang kafe-kafe seperti itu tidak mempunyai cawangan di Bandaraya Pesisir Air ini.

Tetapi Starbucks sudah membuka sebuah cawangan sulung di negeri Terengganu ini di Mesra Mall, Kerteh. Maka berbondong-bondonglah Puan Lucky bersama dengan AKS bertiga ke sana untuk membeli kopi premium di sana.

Berbaloikah membayar hampir RM40 untuk tiga gelas kpo berkenaan? Ada yang akan meng-iyakan dan ada yang akan berfikir kalau kat warung cangkung dah dapat belanja 40 orang kawan minum-minum. Ianya terpulang kepada perspektif masing-masing.


Encik Beanie minum aje...


...

Khamis, 6 November 2008

Minum Petang di Kopitiam Uncle Chua

Encik Beanie terus berusaha untuk menjadi seorang 'foodie blogger' yang berdedikasi dengan menulis tentang sebuah lagi tempat 'melantak' di Bandaraya Kuala Terengganu ini.

Hari ini beliau bersama dengan Puan Lucky dan Nina pergi ke Uncle Chua's Kopitiam yang terletak di deretan kedai yang sama dengan Secret Recipe di Kampung Ladang.

Dekor di dalamnya mirip dengan Old Town Kopitiam yang banyak terdapat di Lembah Kelang, suatu tempat yang menjadi kegemaran Encik Beanie untuk melepaskan kerinduannya terhadap kopi.

Menunya tidaklah setebal mana namun ianya mempunyai variasi yang cukup untuk memenuhi keinginan mereka yang ingin makan secara santai.

Kalau kita ke sebuah kopitiam, sudah pasti untuk menikmati kopinya, kan? Maka tidak salah sekiranya meneka minuman yang dipesan oleh Encik Beanie ialah secawan kopi-O.

Ianya tidak mengecewakan dengan rasa kopi yang pekat dan tebal namun tidaklah terlalu pahit.

Nina yang mengadu kelaparan menikmati mee rebus bersama dengan Encik Beanie.

Namun selepas terlalu lama menunggu kerana selalu sahaja mee rebus itu masuk ke dalam mulut Encik Beanie, Nina merampas kuasa dan mengambil alih sudu dan garfu dari tangan 'daddy'nya itu.

Buat Puan Lucky pula dia memilih untuk menikmati 'char koay teow'. Menurutnya ianya digoreng bersama dengan jumlah kerang yang agak banyak serta mempunyai rasa kekacangan.

Sekejap sahaja ianya sudah berjaya dihabiskan...


...oleh Encik Beanie.

Tidak cukup dengan itu, Encik Beanie turut memesan 'peanut butter toast' yang sebagaimana disarankan oleh namanya, disapu dengan mentega kacang yang tebal dan ditaburi pula dengan butiran kacang yang telah dihancurkan.

Harganya berpatutan dengan kos untuk semua makanan dan minuman di atas tidak melebihi RM15. Sesiapa yang ingin mencuba sesuatu yang santai bolehlah ke kopitiam ini.


...

Rabu, 29 Oktober 2008

Kembali ke Dungun.

Kebanyakan masa remaja Encik Beanie dihabiskan di Dungun, maka tidak hairanlah sekiranya pekan kecil yang sudah mendapat status Perbandaran itu mempunyai tempat yang istimewa dalam hatinya.

Apabila timbul peluang untuk ke Dungun, jarang sekali dia akan menolaknya.

Peluang itu timbul semalam apabila Puan Lucky hendak ke Dungun kerana perlu mengakses pengkalan data yang terdapat di UiTM Dungun. Maka, selepas menghantar AKS berdua ke sekolah kami terus sahaja berlepas.

Sesampai sahaja di sebuah kampung yang diberi nama Pasir Puteh, pandangan Encik Beanie terarah kepada sekumpulan burung sedang berlegar-legar di udara, suatu pandangan yang agak jarang dilihat.

Namun setelah diamati, rupa-rupanya ianya bukanlah kumpulan burung, tetapi sekumpulan penerjun berpayung sedang membuat penerjunan mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka dari mana-mana pasukan bersenjata atau tidak.

Sesampai di sana Puan Lucky terus sahaja ke Perpustakaan Cendiakawan sementara Encik Beanie berjalan-jalan di sekitar kampus untuk meihat sendiri perubahan yang sudah berlaku sejak dia meninggalkan kampus ini dalam tahun 1991.

Padang di mana dia bermain bolasepak mewakili ITMCT dahulu masih ada bersama dengan stadium mini yang sudah diberi wajah baru. Kini stadium mini tersebut mempunyai pentas VIP dan juga tempat duduk plastik yang lebih selesa dari dahulu.

Kawasan yang digunakan untuk berkumpul oleh Encik Beanie dan rakan-rakannya dahulu juga sudah dinaik-tarafkan dengan lantainya yang sudah dipasang dengan jubin, membolehkan majlis diadakan dalam suasana yang cantik dan selesa.

Namun, apa yang menarik perhatian Encik Beanie ialah kewujudan bangku-bangku ini. Sungguh tidak disangka hayatnya masih panjang kerana ianya sudah ada di situ sejak dari tahun 1988 lagi.

Bangku-bangku itu pasti telah banyak menyaksikan pelbagai drama dan peristiwa, seperti bagaimana seorang pelajar wanita menangis selepas diberitahu oleh teman lelakinya bahawa hubungan mereka sudah berakhir (Encik Beanie hanya pemerhati dalam kes ini, sama seperti bangku itu).

Pasti ianya juga digunakan untuk sesi pergambaran oleh wajah-wajah ceria mereka yang akan menamatkan pengajian.

Ini ialah beberapa rakaman di sekitar kampus, di mana bilik-bilik kuliah di mana Encik Beanie hadir dengan jayanya (kecuali kebanyakan kelas pukul 2 petang).

Ini ialah pandangan dari pintu masuk blok pentadbiran, di mana di zaman Encik Beanie dahulu terletaknya 'pigeon hole' yang selalu sahaja dilawati oleh mereka yang selalu menerima surat (termasuk Encik Beanie ke tu?)

Kawasan di hadapan perpustakaan kini sedang menjalani proses renovasi maka Encik Beanie merakamkan gambar dari sebelah tepi sahaja.

Sedar tidak sedar, sudah tiba waktu makan tengahari. Kalau dahulu para pelajar terpaksa pergi agak jauh untuk menikmati sesuatu yang istimewa, kini Hotel UiTM terletak di dalam kawasan kampus membolehkan warga kampus UiTM menikmati hidangan yang disediakan oleh chef yang berpotensi.

Segelas air epal untuk Encik Beanie sementara Puan Lucky yang mengelami sakit tekak hanya memilih untuk menikmati air suam sahaja.

Apa yang dipilih oleh Encik Beanie? Sepinggan nasi goreng Yong Chow...

...sementara Puan Lucky memilih untuk menikmati hidangan dari laut yang dimasak secara masam manis. Kuantitinya amat banyak dan rasanya juga sedap membuatkan ianya berbaloi.

Begitulah kisah perjalanan kembali ke Dungun.


...

Ahad, 13 April 2008

Kedah Juara Lagi Noo...

Kedah menjadi pasukan pertama berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Super Malaysia selepas menewaskan Terengganu 2-1 di Alor Setar serta kekalahan mengejut pencabar terdekat, Selangor di Pulau Pinang.

Keputusan malam tadi menyaksikan pasukan Kenari mengutip 53 mata. Dengan hanya tiga perlawanan berbaki selepas ini, Selangor tidak mampu memintas selepas kekalahan 4-1 di Stadium Batu Kawan itu menyaksikan mereka kekal dengan 42 mata.

Bagi pasukan Terengganu, kekalahan di Stadium Darul Aman menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke enam dengan 34 mata. Para penyokong Sang Penyu hanya mampu berharap pasukan mereka mampu memperbaiki kedudukan tersebut dengan memenangi semua tiga perlawanan terakhir Liga Super menentang dua pasukan tercorot liga, Pulau Pinang dan Sarawak serta pencabar dari selatan, Johor FC.

Sekiranya ianya berjaya dilakukan maka Terengganu akan berjaya mengakhiri persaingan Liga Super paling kurang di tangga ke lima. Ianya sudah cukup untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia di samping memburu kejuaraan Piala FA kali ke dua.

Terengganu akan bertemu Felda United di perlawanan ke dua suku akhir selepas memenangi perlawanan pertama 3-1 di Kuala Terengganu pada hari Selasa lepas.

Tahniah kepada pasukan Kedah di atas kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super. Terengganu ialah salah sebuah dari dua pasukan yang berjaya menewaskan Si Kenari musim ini apabila menang 3-1 di Kuala Terengganu pada 23 Disember, 2007.

...

Selasa, 1 Januari 2008

SELAMAT TAHUN BARU

Sudah masuk tahun baru 2008 rupanya, dengan itu kami mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2008.

Serentak dengan bermulanya tahun baru, Kuala Terengganu telah diisytiharkan sebagai sebuah Bandaraya. MB Idris Jusoh telah membaca pengisytiharan tersebut bersama dengan perasmian Tahun Melawat Terengganu 2008 di Dataran Shahbandar.

Ianya disusuli dengan pertunjukan bunga api yang cantik dan indah dan berjaya menghiburkan kebanyakan mereka yang berada di tempat bersejarah itu.

Kami sempat merakamkan pertunjukan tersebut dalam beberapa imej amatur.

Untuk membaca mengenai perarakan kereta berhias, sila di sini.






















...