Memaparkan catatan dengan label about AKS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label about AKS. Papar semua catatan

Isnin, 3 Januari 2011

Tahun Baru, Sekolah Baru

Rentetan kemenangan pasukan Malaysia dalam Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini telah menyaksikan rakyat Malaysia diberi 'bonus' dalam bentuk cuti umum pada hari Jumaat, 31-12-2010.

Tetapi pada hari tersebut warga Terengganu sudah pun berhujung minggu. Lantas untuk membolehkan semua rakyat Malaysia termasuk juga yang berada di Terengganu, Perlis dan Kelantan mendapat menikmati habuan Harimau Malaya, maka cuti tersebut dibawa kepada hari Ahad, 02-01-2011.

Ianya sekaligus menganjak permulaan hari bersekolah kepada hari berikutnya, di mana buat kali pertama dalam masa beberapa tahun hari pertama persekolahan di seluruh negara bermula pada hari yang sama.

Lantas Puteri Bongsu Puan Lucky dan Encik Beanie turut memulakan hari pertamanya di suasana baru Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) lewat sehari dari yang dijadualkan.


Selepas menghantar AKS#2 di sekolahnya pada jam 6.50 pagi (Rasa seperti di Lembah Kelang pulak) Encik Beanie memandu Che Mat di jalanraya yang masih lagi belum sibuk. Tetapi sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah, kenderaan mulai banyak.


Dengan sebuah sekolah rendah berjiran dengan SHAMS maka kami berdua tidak hairan dengan keadaan tersebut. Sudah pasti ramai ibubapa turut sama menghantar anak-anak mereka yang berada di Tahun Satu di sekolah berkenaan lantas menyaksikan bilangan kenderaan yang banyak itu.


Proses pendaftaran mudah dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SHAMS, Ustaz Rosli banyak membantu. Ianya menyaksikan Puan Lucky dan Encik Beanie meninggalkan perkarangan sekolah tersebut sebelum perhimpunan pagi bermula.

Selepas setahun yang 'traumatik' di SMAAZA buat Puteri Bongsu mereka, maka Puan Lucky dan Encik Beanie berharap agar suasana di sekolah baru ini lebih sesuai dengan Berg dan menamatkan segala permasalahan dan rungutan yang sering ditimbulkan ketika berada di sekolah lamanya itu.

Mudah-mudahan begitulah kehendakNYA jua.


...

Sabtu, 25 Disember 2010

Jalan-jalan Jengok Aslan

Hari Jumaat ialah hari yang santai buat Encik Beanie dan Puan Lucky. Kebiasaannya dihabiskan dengan aktiviti santai tanpa perlu bergegas ke sana dan ke mari. Tetapi ada kalanya sesuatu idea timbul secara spontan dan terus sahaja kami berdua bersama dengan AKS bertiga melakukan sesuatu mengikut idea tersebut.

Sedang dia menghabiskan waktu pagi menunggu ahli keluarganya bangun dari alam mimpi mereka, tiba-tiba timbul idea dalam fikiran Puan Lucky untuk ke Mesra Mall di Kerteh. Idea itu disampaikan kepada Encik Beanie yang terus sahaja bersetuju tetapi kami sama-sama merahsiakannya dari pengetahuan AKS bertiga.

Selepas Encik Beanie pulang dari menunaikan solat Jumaat dan kami semua menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh Puan Lucky, akhirnya kami terus bersiap dan bertolak ke Kerteh.

Perjalanan santai dengan hanya satu persinggahan di Rantau Abang untuk mengisi minyak dan menunaikan solat Asar. Selepas kami berdua selesai melakukan kedua-duanya dan masuk ke dalam kereta, tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang dari Masjid Rantau Abang berhampiran.

Rupa-rupanya jam di kereta Cik Putih cepat hampir dua puluh minit.

Maka kami menunaikan solat Asar sekali lagi sebelum meneruskan perjalanan ke Mesra Mall. Tibanya di sana AKS bertiga bersorak riang apabila diberitahu kami semua akan menonton wayang di Tanjung Golden Village buat pertama kalinya di mall tersebut. AKS #3 lebih kepada mengikut apa yang dilakukan oleh kakak-kakaknya sahaja.


Selepas menyemak skrin yang memaparkan filem-filem yang ditayangkan akhirnya yang tinggal hanya filem pengembaraan kanak-kanak: Narnia-Adventure of the Dawn Trader yang sesuai dari pilihan-pilihan lain iaitu Janin, Aku Masih Dara dan Hantu Mak Limah Kembali. Pilihan dibuat lebih berdasarkan kepada waktu tayangan.

AKS#1 kurang bersetuju, mungkin kerana merasakan dirinya sudah terlalu dewasa untuk cerita sedemikian. Kalau dia dapat memilih sudah pasti 'Aku Masih Dara' yang menjadi pilihan.

Puan Lucky pula melampiaskan hajatnya untuk menikmati donut Big Apple sementara menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung. Sebaik sahaja di dalam panggung kami mengambil tempat yang agak ke depan sedikit iaitu di barisan C kerana pilihan yang agak terhad ketika membeli tiket.


Lisa pada mulanya agak ketakutan dengan bunyi bising kesan bunyi dari paparan tayangan akan datang tetapi selepas Puan Lucky menutup sedikit telinganya barulah dia mula menonton dengan agak tenang.

Untuk dua jam seterusnya kami di bawa kembali ke alam fantasi Narnia dan ternyata ianya menghiburkan dan buat Lisa dia juga seperti seronok dengan pengalaman pertamanya menonton wayang. Tetapi dia lebih suka dengan 'end credits' di mana di bangun dan menari dengan gayanya sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang dimainkan.


Seterusnya kami singgah di kedai Roti Tempayan Kerteh untuk makan malam di mana Puan Lucky memesan koey teow goreng bersama dengan roti tempayan berkuah kambing untuk dirinya sementara Encik Beanie memilih untuk menkmati nasi goreng pattaya. Nina dengan pilihan berbeza kali ini, roti canai telur sementara Berg memesan lauk paprik berserta nasi putih.

Perjalanan pulang yang santai juga menyaksikan kami tiba di rumah lebih kurang pukul 1 pagi, mengakhiri satu hari yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.


...

Jumaat, 8 Oktober 2010

Bersua Lantas Merasa

Sudah lama acara SuaRasa TV9 tidak diadakan di Terengganu, kalau tidak salah kali terakhir ialah pada tahun 2008 di Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man. Encik Beanie turut hadir ketika itu dan  berjumpa dengan beberapa personaliti dari stesen TV itu.



Kini acara itu kembali lagi ke Kuala Terengganu tetapi di venue yang berlainan pula. Kali ini ianya diadakan di sebuah lokasi yang baru iaitu di Pulau Warisan. Kalau sesiapa bertanya, Pulau Warisan? Mana tu? Mereka boleh dimaafkan.

Ini disebabkan oleh Pulau Warisan ialah sebuah pulau buatan manusia di sebuah kawasan yang ditebusguna di belakang Kampung Cina. Pulau tersebut dipisahkan dari tanah besar oleh sebuah terusan yang akan digunakan oleh bot persiaran yang akan membawa para pelancung meninjau persekitaran Bandaraya Kuala Terengganu dari muara Sungai Terengganu.

Pulau buatan tersebut dihubungkan dengan Kampung Cina oleh tiga buah titian, dua daripadanya boleh digunakan oleh kenderaan bermotor sementara sebuah lagi khusus untuk pejalan kaki.


Cuaca ketika kami tiba panas terik dan selepas meletakkan Che Mat di tempat dikhaskan kami melangkah ke tempat di mana acara-acara diadakan. Sekiranya pada tahun 2008 personaliti-personaliti seperti Adruce dan Didie Alias menjadi tumpuan, kali ini tumpuan para pengunjung llebih kepada bintang Hikayat Putera Shazlan, Fimie dan beberapa orang peserta Idola Kecil.


Tumpuan kanak-kanak dan orang dewasa juga pasti tertumpu kepada watak kartun Upin & Ipin yang berada di sebuah gerai penaja rancangan tersebut. Ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kenangan bersama dengan Upin & Ipin sehingga barisan peminat menjadi agak panjang walaupun di tengah cuaca yang panas terik itu.



Kesian juga kepada para pelakon yang terpaksa membawa watak Upin & Ipin itu. Cuaca yang panas sudah pasti membuatkan mereka tidak selesa di dalam kostum karekter tersebut namun sebagai profesional ianya suatu cabaran yang harus diterima.


Selain dari mereka terdapat juga beberapa orang personaliti lain yang turut sama memeriahkan acara tahun ini. Antaranya ialah penyanyi dan pengacara Alif Sattar yang terkenal dengan lagu "Please, Please, Please... kamu jangan nakal..." yang agak kelakar pada mulanya tetapi lama-kelamaan menjadi tarikan pula kepada pendengarnya.


 

Selain dari gerai-gerai tersebut terdapat juga kawasan di mana gerai-gerai para peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai barangan diniagakan dari hasil tanaman dan ladang sehinggalah pakaian serta kenderaan.



Tidak banyak yang dibeli kerana memang tujuan asal kami hanyalah untuk meninjau acara tersebut secara lebih dekat. Konsert yang membariskan penyanyi-penyanyi seperti Saleem, Yasin dan beberapa orang lagi akan diadakan pada malam esok, tetapi sudah pasti tidak akan dihadiri oleh Encik Beanie kerana dia akan berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2010 di antara T-Team menentang Felda United.


...

Khamis, 26 Ogos 2010

Popiah Yang Diidamkan

Hari Khamis menyaksikan AKS#1 pulang dari asrama SMAAZA untuk berpuasa bersama-sama Puan Lucky dan Encik Beanie di rumah. Salah satu permintaan darinya ialah untuk menikmati popiah basah yang dibeli di Bazaar Ramadhan Shahbandar.


Sebagaimana biasa untuk memenuhi permintaan Puteri Bongsunya, maka Puan Lucky bersama ketiga-tiga AKS pergi ke bazaar tersebut. Encik Beanie menunggu di dalam kereta kerana ketiadaan ruang meletak kereta.


Sebaik sahaja misi itu berjaya disudahkan maka Puan Lucky kembali semula ke kereta tetapi mendapati kereta berkunci sementara Encik Beanie sedang menikmati suasana petang bersama Cik Dinaiti-nya.

Walaupun nasi belum ditanak untuk iftar, Puan Lucky menurut sahaja apabila Encik Beanie meminta AKS bertiga beraksi di hadapan Cik Dinaiti. Tetapi Encik Beanie tidak mengambil masa yang lama, sekadar merakam beberapa 'shot' yang boleh memuaskan hatinya sahaja.


...

Khamis, 14 Januari 2010

Bermulanya Kehidupan Baru.

Selepas selesai formaliti pendaftaran, kami bergerak ke asrama.



Perkhidmatan 'porter' percuma diteruskan, menyelamatkan tenaga Encik Beanie dari terpaksa mengangkat beg Berg yang berat itu.



Perjalanan ke asrama agak jauh, tetapi rasanya jauh lagi asrama Encik Beanie sewaktu dia bersekolah dahulu.



Pada mulanya Encik Beanie teragak-agak juga untuk naik ke atas bersama dengan Puan Lucky dan Berg tetapi selepas diberitahu ianya dibenarkan pada hari ini maka dia terus sahaja memanjat tangga ke tingkat 4 di mana terletaknya dorm Berg.




Sebelum pulang kami bergambar dulu.













Masing-masing sudah berasa agak lapar ketika itu, mujurlah ada nasi minyak disediakan oleh pihak sekolah untuk menjamu para hadirin. Jadi kami sama-sama menikmati hidangan tersebut di bawah sebuah kanopi.



Selepas selesai sahaja menikmati hidangan tengahari itu, maka tibalah waktu untuk berpisah (walaupun sementara rasa jugak sedihnya). Maka Puan Lucky pun menghantarlah Berg ke asramanya.



...

Jumaat, 1 Januari 2010

Tahun Baru di KFC

Rasa tak mahu makan di rumah pulak hari pertama tahun 2010.



Dah lama jugak tak makan di KFC.



Jadi, tunggu apa lagi? Ke KFC ajelah Puan Lucky dan Encik Beanie bersama dengan AKS berdua. AKS#1 bercuti ke Pangkor bersama dengan Atuk dan Nenek.


...

Isnin, 25 Mei 2009

Berteduh di Pondok Pizza

Sudah lama tidak memenuhi perut kami dengan pizza. AKS berdua selalu sahaja mengajak Puan Lucky dan Mr Beanie ke Pondok Pizza untuk menjamu selera.

Akhirnya pujukan mereka berdua berhasil dan pada hari ini kami berempat (AKS#3 bawak bekal sendiri) menikmati hidangan makan tengahari di cawangan Pondok Pizza yang ke dua di Kuala Terengganu.

Walaupun namanya Pondok Pizza tetapi banyak lagi hidangan lain yang boleh dinikmati di sini.


Namun apa pun yang dinikmati, di mana sahaja, sekiranya ianya bersama keluarga yang disayangi, ianya memberikan pulangan yang amat tinggi.


...

Khamis, 30 Oktober 2008

Nasi Ayam Kegemaran

Nina memang suka makan nasi ayam. Terutama apabila ianya dari Restoran Nurul Iman, Batu Buruk. Ianya memang terkenal di kalangan warga kota Kuala Terengganu sehinggakan tiada tempat duduk jika lewat tiba di waktu makan tengahari.

Ianya ringkas tetapi sedap ditambah pula dengan servis yang pantas dan mesra. Mungkin disebabkan sudah terlalu kerap ke sini maka wajah Encik Beanie sudah terpahat dalam kotak memori pekerja-pekerja di sana.

Hari ini Berg membawa teman sekolahnya bersama untuk menikmati hidangan tengahari ini.

Sementara itu Nina sudah tidak menghiraukan dunia ketika dia sedang menikmati nasi ayamnya. Mungkin makanan lain yang mampu memberikan efek yang sama ialah roti canai.

Buat Puan Lucky dan Encik Beanie, asalkan AKS berdua ini cukup makan, sudah cukup menyenangkan.

Esok nak makan apa pulak ya?

...



...

Ahad, 26 Oktober 2008

Santai di Belakang Rumah.

Hujung minggu kebiasaannya Encik Beanie malas hendak keluar dari rumah kerana kebiasaannya ianya akan sesak dengan mereka yang ingin bersantai bersama keluarga di tempat-tempat rekreasi dan santai.

Tetapi mungkin disebabkan oleh Puan Lucky yang walaupun diarahkan oleh doktor supaya banyakkan rehat masih ingin berjalan-jalan makan angin, akhirnya Encik Beanie keluar juga bersama dengan AKS berdua.

Kalau semalam kami ke pantai, kali ini kami tidak pergi jauh, cuma belakang rumah kita orang sahaja.

Inilah belakang rumah kita orang.

Taman Tamadun Islam.

Tidak disangka ramai juga pengunjung yang datang walaupun hari hujan.

Tetapi mungkin juga disebabkan di Dewan Konvensyen TTI diadakan Konvensyen UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang berlangsung sejak dari pagi lagi.

Tetapi kami ke sana bukanlah hendak berkonvensyen, tetapi menyantaikan diri. Ternyata, Puan Lucky dengan tenang menyantaikan diri di atas dek terapung yang dibina untuk memberikan lebih keselesaan kepada mereka yang datang berkunjung dengan menaiki bot.

Nina membuat aksi merajuk selepas permintaannya untuk menaiki tren mini mengelilingi TTI ditolak oleh Encik Beanie. Namun 'daddy'nya berjanji untuk membawa dia menaiki tren tersebut sebelum tahun 2008 melabuhkan tirai.

Lambat lagi, kan? Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ianya ada di belakang rumah kita orang sahaja, kan?

Hari ini Berg menjalankan tugas melipat pakaiannya dengan baik walaupun pada masa yang sama akan bercakaran dengan Nina, sebagaimana lazimnya setiap hari antara mereka berdua.

Encik Beanie tidak melepaskan peluang untuk 'enterprem' dengan Masjid Kristal menjadi latar-belakangnya.

Memandangkan hari semakin gelap maka kami pun beredar untuk pulang ke rumah yang hanya lima hingga sepuluh minit perjalanan dari TTI, dekat kan?

Jadi sesiapa yang bercadang nak melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bolehlah singgah sebentar di rumah kami.


...

Sabtu, 11 Oktober 2008

Variasi Yang Bertambah

Sejak dua menjak jadi bandaraya semakin banyak perubahan yang dirasakan oleh kami 'warga-kota' kT.

Sekiranya lima tahun dahulu apa yang sering keluar dari mulut Puan Lucky dan Mr Beanie ialah kekurangan variasi dalam hidangan makanan, sama ada pagi, petang atau pun malam. Hidangan tipikal ialah nasi putih berlauk kampung, masakan panas ala Siam dan beberapa tempat yang sanggup menentang arus dengan menghidangkan masakan barat.

Namun kini warga-kota kT mempunyai pilihan untuk menjamu selera di tempat-tempat yang dahulunya tidak terdapat di sini. Antara yang dinantikan dahulu ialah restoran makanan segera MacDonald's.

Kemudian hadir pula Restoran Secret Recipe di Kampung Tanjung. Sambutan yang agak menggalakkan mungkin telah mendorong kepada sebuah lagi restoran yang mempunyai konsep yang hampir serupa cuba menempatkan diri di hati warga-kota kT.

Kafe Noodle Station mula beroperasi dalam bulan Ramadhan baru-baru ini bertempat di Pusat Perniagaan Paya Keladi. Kepada yang tidak biasa dengan nama tersebut, ianya berhampiran dengan Terminal Bas Bandaraya Kuala Terengganu dan Masjid Sultan Zainal Abidin.

Jadi selepas menghabiskan masa di sini Puan Lucky mencadangkan supaya kami singgah di kafe terbaru ini.

Ruang dalamannya memberikan suasana yang selesa walaupun aturan kerusi dan meja di bahagian luar agak menyesakkan dan menyukarkan pelanggan untuk bergerak.

Ianya juga mempunyai tingkap yang membolehkan kita melihat dapur kafe ini. Nina terus sahaja mengambil peluang untuk menjenguk dan merakamkan aksi para chef menyediakan hidangan-hidangan yang dipesan oleh para pelanggan.

Sebagaimana biasa Encik Beanie pasti memilih untuk menikmati cafe latte yang digemarinya sementara Puan Lucky mencuba sesuatu yang dipanggil 'I Love You Lemonade' (amaran: sekiranya anda amat dahaga jangan memesan minuman ini kerana gelasnya agak kecil).

Puan Lucky yang baru keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam berasa gembira dapat menikmati hidangan yang baru di kafe yang baru ini.

Inilah yang dipesan oleh Mr Beanie: Mee Wantan bersama dengan Ayam Bermadu BBQ yang dihidangkan bersama dengan 'dumpling' di dalam sup. Ianya hampir menepati citarasa Mr Beanie yang menggemari masakan yang tidak pedas.

Sementara itu Puan Lucky memilih untuk menikmati Mee Wantan yang dihidangkan bersama dengan peha ayam yang dimasak secara BBQ. Perbezaan antara hidangan dengan hidangan Mr Beanie ialah pesanan Puan Lucky dimasak dengan perisa lada hitam sementara hidangan Mr Beanie lebih berteraskan kicap (soy sauce).

Emmm... Mr Beanie menikmati hidangan mee wantan-nya.

Sementara Puan Lucky berkongsi kesedapan hidangannya bersama dengan Nina.

Sebagai pencuci mulut kami memilih untuk sama-sama berkongsi Sorbet Mangga yang ternyata amat menyejukkan yang boleh memberi 'brain freeze' sekiranya ianya disedut dengan banyak pada sesuatu masa... namun ianya berbaloi.

Mungkin ada yang tertanya ke mana perginya AKS #1.

Sayap Berg kini telah mula berkembang dan memilih untuk pergi berhari-raya di rumah kawannya, suatu pilihan yang mungkin tidak akan dibuat sekiranya perancangan lawatan ke Noodle Station ini dibuat lebih awal oleh Puan Lucky dan Mr Beanie dan bukan secara 'ad-hoc' seperti yang berlaku.

Walau apa pun, Kafe Noodle Station memberikan suatu variasi yang berbaloi buat perut para warga-kota kT ini.

...