Jumaat, 8 Oktober 2010

Bersua Lantas Merasa

Sudah lama acara SuaRasa TV9 tidak diadakan di Terengganu, kalau tidak salah kali terakhir ialah pada tahun 2008 di Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man. Encik Beanie turut hadir ketika itu dan  berjumpa dengan beberapa personaliti dari stesen TV itu.



Kini acara itu kembali lagi ke Kuala Terengganu tetapi di venue yang berlainan pula. Kali ini ianya diadakan di sebuah lokasi yang baru iaitu di Pulau Warisan. Kalau sesiapa bertanya, Pulau Warisan? Mana tu? Mereka boleh dimaafkan.

Ini disebabkan oleh Pulau Warisan ialah sebuah pulau buatan manusia di sebuah kawasan yang ditebusguna di belakang Kampung Cina. Pulau tersebut dipisahkan dari tanah besar oleh sebuah terusan yang akan digunakan oleh bot persiaran yang akan membawa para pelancung meninjau persekitaran Bandaraya Kuala Terengganu dari muara Sungai Terengganu.

Pulau buatan tersebut dihubungkan dengan Kampung Cina oleh tiga buah titian, dua daripadanya boleh digunakan oleh kenderaan bermotor sementara sebuah lagi khusus untuk pejalan kaki.


Cuaca ketika kami tiba panas terik dan selepas meletakkan Che Mat di tempat dikhaskan kami melangkah ke tempat di mana acara-acara diadakan. Sekiranya pada tahun 2008 personaliti-personaliti seperti Adruce dan Didie Alias menjadi tumpuan, kali ini tumpuan para pengunjung llebih kepada bintang Hikayat Putera Shazlan, Fimie dan beberapa orang peserta Idola Kecil.


Tumpuan kanak-kanak dan orang dewasa juga pasti tertumpu kepada watak kartun Upin & Ipin yang berada di sebuah gerai penaja rancangan tersebut. Ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kenangan bersama dengan Upin & Ipin sehingga barisan peminat menjadi agak panjang walaupun di tengah cuaca yang panas terik itu.



Kesian juga kepada para pelakon yang terpaksa membawa watak Upin & Ipin itu. Cuaca yang panas sudah pasti membuatkan mereka tidak selesa di dalam kostum karekter tersebut namun sebagai profesional ianya suatu cabaran yang harus diterima.


Selain dari mereka terdapat juga beberapa orang personaliti lain yang turut sama memeriahkan acara tahun ini. Antaranya ialah penyanyi dan pengacara Alif Sattar yang terkenal dengan lagu "Please, Please, Please... kamu jangan nakal..." yang agak kelakar pada mulanya tetapi lama-kelamaan menjadi tarikan pula kepada pendengarnya.


 

Selain dari gerai-gerai tersebut terdapat juga kawasan di mana gerai-gerai para peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai barangan diniagakan dari hasil tanaman dan ladang sehinggalah pakaian serta kenderaan.



Tidak banyak yang dibeli kerana memang tujuan asal kami hanyalah untuk meninjau acara tersebut secara lebih dekat. Konsert yang membariskan penyanyi-penyanyi seperti Saleem, Yasin dan beberapa orang lagi akan diadakan pada malam esok, tetapi sudah pasti tidak akan dihadiri oleh Encik Beanie kerana dia akan berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2010 di antara T-Team menentang Felda United.


...

1 ulasan:

ejie aziz berkata...

bkpe saya gi xjupe diaorang2 nihh..hehehhehe