Selepas Encik Beanie menghadiri Jamuan Iftar bersama dengan ahli-ahli Forum GanuSoccer.Net di Restoran AZ Selera Timur dia pulang ke rumah dan pergi menyempurnakan ibadah Terawih pula di Masjid Al-Taqwa, Durian Burung.
Selepas itu dia akan mengambil Puan Lucky yang memilih untuk berbuka puasa di rumah keluarganya. Tetapi sebelum Encik Beanie sempat keluar dari rumah, teman sebiliknya menelefon untuk memberitahu bahawa dia akan keluar bersama dengan adik-adiknya ke Hazlan Bistro.
Encik Beanie bercadang untuk menyertainya tetapi hanya selepas menonton perlawanan persahabatan Pra-Piala Malaysia antara Terengganu dan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Sesampai di stadium Encik Beanie mencari tempat untuk meletak kereta. Di hujung perkarangan stadium terdapat empat petak tetapi diisi oleh dua buah kereta yang pemandunya berotak senget kerana meletakkan kereta mereka melintangi ke empat-empat petak tersebut.
Encik Beanie mengambil keputusan untuk meletakkan di hadapan sedikit tetapi ketika cuba memandu ke ruangan tersebut tayar Cik Mat telah terjerlus ke dalam longkang yang tidak ditutup.
Oleh kerana tiada apa yang boleh dilakukan ketika itu maka Encik Beanie membuat keputusan untuk menonton perlawanan terlebih dahulu. Sebaik sahaja tamat perlawanan yang berkeputusan seri 1-1 itu Encik Beanie pulang semula ke kereta bersama dengan forumer GSN yang datang untuk membantu.
Cubaan untuk mengangkat Cik Mat menggunakan 'jack' gagal apabila ianya tidak dapat menampung berat disebabkan permukaan tanah yang lembut dan tidak rata.
Ketika Encik Beanie dan kawan-kawannya sedang bersedia untuk mencuba buat kali kedua, beberapa orang pemain kedua-dua pasukan yang menyedari kesusahan yang sedang dialami datang memberi pertolongan. Dengan menggunakan kudrat manusia kami semua berjaya mengangkat Cik Mat keluar dari longkang.
Terima kasih semua!
Akhirnya Encik Beanie berjaya pulang kepada Puan Lucky yang sudah pun menunggu di rumah. Dan Encik Beanie pun kena 'KAW' 'KAW'!
...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan