Isnin, 2 Ogos 2010

Shopping Raya

Sebagaimana kebiasaan apabila menjelang Ramadhan, perkara yang paling kerap bermain di fikiran ialah 'Shopping Raya'.

Tidak ketinggalan Puan Lucky yang akan berasa susah hati sekiranya anak-anaknya tidak mempunyai baju untuk dipakai ketika menyambut Aidil-Fitri nanti.

Maka pada hari Khamis yang lalu kami bertolak ke kL, namun kali ini tidak terus ke ibukota itu. Kami merancang untuk bergerak secara santai sahaja. Selepas mengambil Khadijah di asrama SMAAZA, Cik Mat dipandu ke arah Kuantan dengan berhenti sebentar di Dungun.



Kami menikmati makan malam di Pattani Family Restaurant, suatu tempat yang sudah lama tidak kami kunjungi. Makanannya masih lagi serupa seperti yang kami nikmati dahulu membuka selera kami sehinggakan licin semua pinggan yang digunakan.

Selepas menikmati juadah kami mencari tempat untuk bermalam dan selepas mencari buat beberapa ketika akhirnya Cik Mat dipandu menuju ke Rumah Rehat Annexe di Jalan Teluk Sisek menghala ke Teluk Chempedak.

Ianya mempunyai bilik yang standard dan kadar yang diberikan agak murah berbanding dengan hotel-hotel lain di bandar tersebut. Tambahan pula tidak perlu untuk memanjat anak-anak tangga untuk sampai ke bilik.

Keesokannya perjalanan di teruskan ke kL selepas bersarapan ala kadar berhampiran dengan MegaMall Kuantan. Perjalanan yang lancar menyaksikan kami sudah berada di Midvalley Megamall pada waktu makan tengahari, namun agenda utama ialah ke Robinson dan seterusnya ke Isetan (Nina teragak-agak untuk masuk ke dalamnya kerana bimbang akan menjadi Setan).

Sesuatu yang harus diingat oleh para ibu-bapa ialah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak ketika melakukan aktiviti membeli-belah. Nina yang selalu sahaja gemar merayau-rayau hampir ketinggalan rombongan pada suatu ketika apabila terlalu leka bermain sedangkan pada masa itu Encik Beanie menjangka dia bersama Puan Lucky dan sebaliknya.

Mujurlah ketika sedang berjalan keluar dari Robinson Encik Beanie melihat di sudut matanya seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti Nina dan setelah diamati dengan lebih mendalam kanak-kanak itu MEMANG Nina. Mujurlah 'kehilangan' AKS#2 itu hanya buat masa seketika tetapi sudah cukup membuatkan jantung kami berdua terhenti seketika.

Selepas membeli-belah maka tiba masa untuk mengisi perut. Nina memang sudah lama menginginkan sushi maka kami melabuhkan punggung di dalam Sushi King. Sememangnya AKS#2 itu amat menyukai makanan Jepun itu sehingga piring-piring yang lalu di depannya kerap menjadi 'mangsa culik' oleh Nina.



Aktiviti membeli-belah diteruskan selepas mengisi perut sehinggalah waktu malam.

Keesokan harinya agenda diteruskan dengan menjadikan One Utama pula sebagai destinasi. Tetapi berbeza dengan semalam aktiviti dimulakan dengan makan dahulu dan tiba giliran Khadijah pula untuk memilih tempat makan. Memang tidak dinafikan bahawa Puteri Bongsu Encik Beanie itu amat menyukai Nando's.

Seekor ayam menjadi mangsa kami yang sememangnya lapar pada waktu itu. sebagaimana biasa perut Encik Beanie akan menjadi destinasi mana-mana bahagian yang tidak dihabiskan oleh ahli-ahli rombongan yang lain.


Sebaik sahaja menamatkan aktiviti mengisi perut maka agenda utama diteruskan oleh Puan Lucky bersama dengan konco-konconya (Baca: AKS#1 & #2). Sebagaimana kebiasaannya Encik Beanie akan bersama dengan AKS#3 berjalan-jalan di sekitar kompleks membeli-belah yang sudah ditambah keluasannya itu.

Petang itu selepas menamatkan aktiviti membeli-belah Puan Lucky bersama AKS bertiga menyertai rombongan menikmati makanan laut di Kuala Selangor bersama dengan sepupu-sepapat mereka.

Sementara itu Encik Beanie pula mempunyai agendanya sendiri di Stadium Shah Alam. Kunjungan Terengganu untuk bertemu Selangor berkesudahan dengan kekalahan 2-0 kepada pasukan Sang Penyu namun ianya memberi kepuasan kepada Encik Beanie yang pertama kali 'menembak' di stadium tersebut.



Pada hari terakhir kami ke Subang Parade pula untuk membuat 'penyudah' kepada episod membeli-belah kali ini. Kebetulan pula di sana sedang berlangsung peringkat akhir Pertandingan 'Choral Speaking' di antara sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang.

Namun apa yang penting ialah menikmati makan tengahari dan kali ini pilihan Encik Beanie dan Puan Lucky pula. Dengan hampir semua restoran yang ada di situ telah kami lawati di situ maka kami memilih untuk mencuba sesuatu yang lain iaitu Manhattan Fish Market.

Apabila tiba hidangan yang dipesan kami tertawa secara ironi kerana apa yang dibawa boleh didapati dengan banyak di kT. Namun terdapat perbezaan dari segi segi tekstur hidangan yang jauh lebih lembut jika dibandingkan dengan apa yang biasa didapati di gerai-gerai.



Selepas mendapat bekalan tenaga yang diperlukan maka aktiviti utama diteruskan sehinggalah tiba waktu untuk bertolak pulang ke kT. Dengan belanjawan Aidil-Fitri sudah pun hampir habis kami pulang dengan perasaan puas dan menunggu ketibaan Aidil-Fitri dengan penuh kegembiraan.

Tetapi sebelum itu kenalah puasa Ramadhan dahulu, kan?

Tiada ulasan: