Memaparkan catatan dengan label Pulau Warisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pulau Warisan. Papar semua catatan

Rabu, 2 Februari 2011

Arnab Sudah Datang lor

Perayaan Tahun Baru Cina disambut dengan meriah di Kuala Terengganu. Tumpuan sambutan sudah semestinya di Kampung Cina yang kini sudah berwajah baru dengan siapnya fasa 1 projek penebusan semula tanah yang kini sudah membentuk sebuah pulau baru yang dinamakan Pulau Warisan.

Encik Beanie berjalan tanpa Puan Lucky malam itu. Laluan melalui Kampung Cina ditutup untuk lalu-lintas. Ianya menjadi laluan pejalan kaki bermula dari Pasar Kedai Payang sehingga persimpangan Tokong. Beberapa kedai dihias cantik dalam pertandingan 'Hiasan Tercantik Sambutan Tahun Baru Cina'.

Ketika Encik Beanie tiba sebuah okestra Cina sedang membuat persembahan lagu-lagu sambutan tahun baru. Okestra tersebut dianggotai oleh para remaja yang mempunyai bakat dalam memainkan instrumen yang berkaitan.

Selepas menikmati persembahan musik Encik Beanie berjalan-jalan lagi. Di sebuah kedai, suatu demonstrasi kaligrafi Cina sedang dijalankan. Mungkin juga ianya bertujuan untuk pertandingan di mana banyak kain merah yang ditulis dengan kaligafi Cina dipertontonkan.

Seperti juga Seni Khat Jawi, kaligrafi Cina ialah suatu cabang seni yang amat menarik untuk diterokai.

Sedang Encik Beanie leka memerhatikan demonstrasi kaligrafi tersebut, terdengar pula bunyi gendang yang dipalu dengan kuat dari arah sebuah pentas yang didirikan di sebuah kawasan lapang. Rupa-rupanya malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan akrobat dari pengamal akrobat dari China.

Persembahan mereka amat bertenaga dan apa yang dilakukan amat menakjubkan. Sudah pasti ianya hasil dari sifat dedikasi kepada rutin dan latihan yang tidak berbelah bahagi sejak dari usia muda lagi.

Malam tahun baru Cina yang meriah ini merupakan peluang untuk para peminat foto untuk merakamkan saat indah dan menarik tersebut menggunakan gajet mereka. Di samping itu tidak kurang juga yang datang bersama model mereka sendiri yang menggunakan kesempatan tersebut untuk menimba pengalaman beraksi di khalayak ramai.

Encik Beanie lebih suka merakamkan suasana secara kandid dan juga suasana persekitaran yang berlaku ketika itu kerana ianya lebih menarik.

Buat semua masyarakat Cina, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina!


...

Jumaat, 8 Oktober 2010

Bersua Lantas Merasa

Sudah lama acara SuaRasa TV9 tidak diadakan di Terengganu, kalau tidak salah kali terakhir ialah pada tahun 2008 di Taman Tamaddun Islam, Pulau Wan Man. Encik Beanie turut hadir ketika itu dan  berjumpa dengan beberapa personaliti dari stesen TV itu.



Kini acara itu kembali lagi ke Kuala Terengganu tetapi di venue yang berlainan pula. Kali ini ianya diadakan di sebuah lokasi yang baru iaitu di Pulau Warisan. Kalau sesiapa bertanya, Pulau Warisan? Mana tu? Mereka boleh dimaafkan.

Ini disebabkan oleh Pulau Warisan ialah sebuah pulau buatan manusia di sebuah kawasan yang ditebusguna di belakang Kampung Cina. Pulau tersebut dipisahkan dari tanah besar oleh sebuah terusan yang akan digunakan oleh bot persiaran yang akan membawa para pelancung meninjau persekitaran Bandaraya Kuala Terengganu dari muara Sungai Terengganu.

Pulau buatan tersebut dihubungkan dengan Kampung Cina oleh tiga buah titian, dua daripadanya boleh digunakan oleh kenderaan bermotor sementara sebuah lagi khusus untuk pejalan kaki.


Cuaca ketika kami tiba panas terik dan selepas meletakkan Che Mat di tempat dikhaskan kami melangkah ke tempat di mana acara-acara diadakan. Sekiranya pada tahun 2008 personaliti-personaliti seperti Adruce dan Didie Alias menjadi tumpuan, kali ini tumpuan para pengunjung llebih kepada bintang Hikayat Putera Shazlan, Fimie dan beberapa orang peserta Idola Kecil.


Tumpuan kanak-kanak dan orang dewasa juga pasti tertumpu kepada watak kartun Upin & Ipin yang berada di sebuah gerai penaja rancangan tersebut. Ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kenangan bersama dengan Upin & Ipin sehingga barisan peminat menjadi agak panjang walaupun di tengah cuaca yang panas terik itu.



Kesian juga kepada para pelakon yang terpaksa membawa watak Upin & Ipin itu. Cuaca yang panas sudah pasti membuatkan mereka tidak selesa di dalam kostum karekter tersebut namun sebagai profesional ianya suatu cabaran yang harus diterima.


Selain dari mereka terdapat juga beberapa orang personaliti lain yang turut sama memeriahkan acara tahun ini. Antaranya ialah penyanyi dan pengacara Alif Sattar yang terkenal dengan lagu "Please, Please, Please... kamu jangan nakal..." yang agak kelakar pada mulanya tetapi lama-kelamaan menjadi tarikan pula kepada pendengarnya.


 

Selain dari gerai-gerai tersebut terdapat juga kawasan di mana gerai-gerai para peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai barangan diniagakan dari hasil tanaman dan ladang sehinggalah pakaian serta kenderaan.



Tidak banyak yang dibeli kerana memang tujuan asal kami hanyalah untuk meninjau acara tersebut secara lebih dekat. Konsert yang membariskan penyanyi-penyanyi seperti Saleem, Yasin dan beberapa orang lagi akan diadakan pada malam esok, tetapi sudah pasti tidak akan dihadiri oleh Encik Beanie kerana dia akan berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2010 di antara T-Team menentang Felda United.


...