Memaparkan catatan dengan label Hospital Sultanah Nur Zahirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hospital Sultanah Nur Zahirah. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Oktober 2008

Variasi Yang Bertambah

Sejak dua menjak jadi bandaraya semakin banyak perubahan yang dirasakan oleh kami 'warga-kota' kT.

Sekiranya lima tahun dahulu apa yang sering keluar dari mulut Puan Lucky dan Mr Beanie ialah kekurangan variasi dalam hidangan makanan, sama ada pagi, petang atau pun malam. Hidangan tipikal ialah nasi putih berlauk kampung, masakan panas ala Siam dan beberapa tempat yang sanggup menentang arus dengan menghidangkan masakan barat.

Namun kini warga-kota kT mempunyai pilihan untuk menjamu selera di tempat-tempat yang dahulunya tidak terdapat di sini. Antara yang dinantikan dahulu ialah restoran makanan segera MacDonald's.

Kemudian hadir pula Restoran Secret Recipe di Kampung Tanjung. Sambutan yang agak menggalakkan mungkin telah mendorong kepada sebuah lagi restoran yang mempunyai konsep yang hampir serupa cuba menempatkan diri di hati warga-kota kT.

Kafe Noodle Station mula beroperasi dalam bulan Ramadhan baru-baru ini bertempat di Pusat Perniagaan Paya Keladi. Kepada yang tidak biasa dengan nama tersebut, ianya berhampiran dengan Terminal Bas Bandaraya Kuala Terengganu dan Masjid Sultan Zainal Abidin.

Jadi selepas menghabiskan masa di sini Puan Lucky mencadangkan supaya kami singgah di kafe terbaru ini.

Ruang dalamannya memberikan suasana yang selesa walaupun aturan kerusi dan meja di bahagian luar agak menyesakkan dan menyukarkan pelanggan untuk bergerak.

Ianya juga mempunyai tingkap yang membolehkan kita melihat dapur kafe ini. Nina terus sahaja mengambil peluang untuk menjenguk dan merakamkan aksi para chef menyediakan hidangan-hidangan yang dipesan oleh para pelanggan.

Sebagaimana biasa Encik Beanie pasti memilih untuk menikmati cafe latte yang digemarinya sementara Puan Lucky mencuba sesuatu yang dipanggil 'I Love You Lemonade' (amaran: sekiranya anda amat dahaga jangan memesan minuman ini kerana gelasnya agak kecil).

Puan Lucky yang baru keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam berasa gembira dapat menikmati hidangan yang baru di kafe yang baru ini.

Inilah yang dipesan oleh Mr Beanie: Mee Wantan bersama dengan Ayam Bermadu BBQ yang dihidangkan bersama dengan 'dumpling' di dalam sup. Ianya hampir menepati citarasa Mr Beanie yang menggemari masakan yang tidak pedas.

Sementara itu Puan Lucky memilih untuk menikmati Mee Wantan yang dihidangkan bersama dengan peha ayam yang dimasak secara BBQ. Perbezaan antara hidangan dengan hidangan Mr Beanie ialah pesanan Puan Lucky dimasak dengan perisa lada hitam sementara hidangan Mr Beanie lebih berteraskan kicap (soy sauce).

Emmm... Mr Beanie menikmati hidangan mee wantan-nya.

Sementara Puan Lucky berkongsi kesedapan hidangannya bersama dengan Nina.

Sebagai pencuci mulut kami memilih untuk sama-sama berkongsi Sorbet Mangga yang ternyata amat menyejukkan yang boleh memberi 'brain freeze' sekiranya ianya disedut dengan banyak pada sesuatu masa... namun ianya berbaloi.

Mungkin ada yang tertanya ke mana perginya AKS #1.

Sayap Berg kini telah mula berkembang dan memilih untuk pergi berhari-raya di rumah kawannya, suatu pilihan yang mungkin tidak akan dibuat sekiranya perancangan lawatan ke Noodle Station ini dibuat lebih awal oleh Puan Lucky dan Mr Beanie dan bukan secara 'ad-hoc' seperti yang berlaku.

Walau apa pun, Kafe Noodle Station memberikan suatu variasi yang berbaloi buat perut para warga-kota kT ini.

...

Khamis, 9 Oktober 2008

Transfusi Buat Puan Lucky.

Pada awalnya keadaan Puan Lucky tidak begitu serius tetapi sesuatu telah merendahkan lagi kadar Hb dalam darahnya. Maka doktor tiada pilihan lain kecuali melakukan transfusi darah kepada Puan Lucky.

Maka ketika Encik Beanie tiba bersama AKS berdua petang semalam kelihatan beg darah ini tergantung di sebelah katil buah hati Encik Beanie itu.

Mujurlah dia tersengih-sengih sahaja menerima darah dari penderma yang budiman itu (kami ucapkan terima kasih di atas kesudian anda menderma, walau siapa pun anda)

Namun perkara sama tidak boleh digunakan buat KeBerg yang berasa loya apabila melihat darah. Mujurlah dia tidak pitam apabila Encik Beanie memicit-micit tiub darah untuk mempastikan ianya tidak membeku.

Apa yang pasti ialah AKS berdua ini terus sahaja bergembira di Taman Permainan Pantai Batu Buruk sebaik sahaja Encik Beanie selesai menunaikan solat Maghrib di Surau Kaca (Gelaran yang diberikan oleh Puan Lucky surau tersebut)

Harapannya semoga Puan Lucky tercinta akan segera mencapai tahap Hg yang diperlukan untuk membolehkan dia pulang ke rumah.

Selasa, 7 Oktober 2008

Sambutan Aidil-Fitri

Aidil-Fitri buat Puan Lucky kali ini disambut dalam keadaan 'perlahan'. Maklumlah, 'muatan' yang semakin membesar saban hari menghadkan mobiliti ke sana dan ke mari dengan kelajuan biasa.

Namun bukan bermakna hari lebaran kali ini tidak meriah.

Cuma yang tiada ialah rumah terbuka sendiri yang selalu Puan Lucky dan Encik Beanie untuk meraikan saudara-mara, rakan taulan dan unik buat Puan Lucky, pelajar-pelajar yang datang berkunjung.

Encik Beanie tetap ke dapur namun hidangan yang disediakan hanyalah pada skala 'mini' sahaja, cukup untuk hidangan saudara-mara terdekat sahaja. Insha-Allah Aidil-Fitri yang akan datang semuanya akan kembali normal, walaupun kehadiran AKS #3 mungkin sedikit-sebanyak akan mempengaruhi keadaan.

Silatur-Rahim yang jauh didekatkan semula dan kedatangan rakan lama begitu menceriakan Puan Lucky.

Di samping itu kehadiran kami ke rumah terbuka tetap ada dengan pelbagai juadah disediakan oleh tuan rumah, cuma atas selera dan kehendak para tetamu yang menentukan sama ada ianya akan menjadi pilihan para tetamu.

Namun sungguh bagai dikata; 'Sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari'.

Pemeriksaan bulanan di klinik ibu mengandung menunjukkan bahawa kandungan 'haemoglobin' Puan Lucky rendah lantas terus sahaja doktor yang bertugas menyuruh dia dimasukkan ke dalam wad, sesuatu yang tidak ingin dilakukan sementara suasana lebaran masih terasa.

Namun, selepas menangguh kemasukan itu selama sehari akhirnya Puan Lucky masuk juga ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan bertemu semula dengan para jururawat yang seperti sudah biasa dengan kehadiran wanita mengandung anak ke-tiga ini.

Harapan Encik Beanie semoga semoga segera sembuh dari anemia dan ini dapat dicapai dengan kadar Hb Puan Lucky akan meningkat ke tahap yang diperlukan demi kesihatan beliau dan juga AKS #3 yang menurut doktor bertugas berada dalam keadaan sihat sewaktu diimbas.

...

Isnin, 7 Julai 2008

Enam Botol Sodium Klorida.

Lanjutan dari keadaan Puan Lucky yang lembik serta keputusan Encik Beanie untuk menghantar teman sebiliknya itu ke hospital, maka membuat persiapan serba ringkas maka mereka berdua terus sahaja pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja sampai, seorang pembantu hospital membantu Puan Lucky dan membawanya dengan kerusi roda ke bilik rawatan semi-kritikal.

Puan Lucky terdampar di bilik rawatan semi-kritikal

Dalam masa lebih kurang setengah jam seorang doktor telah datang memeriksa Puan Lucky dan membuat keputusan untuk memasukkan beliau ke dalam wad untuk rawatan lanjut. Sementara itu dia terus diberi rawatan dengan memasukkan Sodium Klorida.

Encik Beanie melakukan proses pendaftaran dan diberitahu bahawa wad kelas pertama masih penuh dan Puan Lucky akan dimasukkan ke wad kelas dua dahulu sementara menunggu kekosongan.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Lucky telah dihantar ke wad 5EF dan proses penerimaannya dilakukan dengan masa yang agak pantas. Kedudukan hospital di tepi Pantai Batu Buruk membolehkan angin laut yang segar bertiup masuk ke dalam wad.

Selera makan sudah terbuka buat Puan Lucky

Di samping Sodium Klorida Puan Lucky juga diberikan ubat penahan muntah. Hanya selepas itu sahajalah dia mampu tidur dengan agak nyenyak. Encik Beanie dimaklumkan sekurang-kurangnya enam botol sodium klorida akan dimasukkan ke dalam tubuh Puan Lucky.

Tapi ada seorang budak yang memang suka masakan hospital. Tugas menghabiskan makan malam Puan Lucky diberikan kepadanya.

Mungkin Dia telah membuka pintu rezeki, di waktu petang seorang jururawat yang bertugas memberitahu bahawa satu kekosongan telah ada di wad kelas pertama tetapi untuk bilik berempat.

Encik Beanie enterprem bersama dengan punggung Puan Lucky.

Maka Puan Lucky dipindahkan ke wad berkenaan selepas solat Maghrib. Ianya berhampiran tingkap maka ianya memudahkan untuk Puan Lucky mendapatkan udara yang segar.

Ketika ini AKS berdua sudah datang bersama dengan nenek dan datuk mereka membawa bersama keperluan Puan Lucky sepanjang beliau berada di hospital ini.

Encik Beanie bersama dengan AKS berdua terus bersama dengan Puan Lucky sehingga waktu tidur untuk budak-budak sekolah itu hampir tiba. Maka mereka mengucapkan selamat malam kepada ibu yang sudah kelihatan segar sedikit.

Harapan kami keadaan Puan Lucky akan pulih secepat mungkin.

...