Memaparkan catatan dengan label Ulangtahun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulangtahun. Papar semua catatan

Ahad, 19 Disember 2010

10 + 4 atau 15 - 1 atau 7 x 2

Dalam diam tak diam dah empat belas tahun Puan lucky dan Encik Beanie bersama. Suatu majlis aqad nikah yang ringkas dan sederhana pada hari ini dalam tahun 1996 menyaksikan penyatuan hati sepasang lelaki dan wanita yang seterusnya berterusan sehingga hari ini.

Puan Lucky dan Encik Beanie memanjat syukur kepada-NYA dengan kurniaan cahayamata dan zuriat yang diharapkan akan menjadi insan yang menjadi manusia. Namun untuk sambutan ke 14 ketiga-tiga cahayamata tersebut ditinggalkan di rumah meninggalkan mereka berdua sahaja menikmati hidangan makan malam.




Walaupun kami lebih suka menikmati makanan di luar untuk menikmati udara malam yang segar dan dingin tetapi angin monsun yang agak kuat serta hujan yang turun secara rintik-rintik membuatkan kami memilih untuk menikmati hidangan makan malam kami di dalam.

Ianya hidangan makan malam ulangtahun perkahwinan yang ringkas. Puan Lucky memilih untuk menikmati 'lamb rack' sementara 'grilled salmon served with pasta' menarik selera Encik Beanie.

Perkhidmatan yang diberikan ternyata tidak mengecewakan dan kami tidak perlu menunggu lama untuk menikmati hidangan yang dipesan. Ternyata ianya tidak mengecewakan dan bersesuaian dengan harga yang dikenakan.

Hidangan tersebut mengenyangkan dan kami berdua mengambil masa untuk menikmati sepenuhnya kesedapannya, tambahan pula memang tiada apa yang perlu dikejarkan dan kami percaya AKS pertama sudah mampu memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua adiknya.

Selepas hidangan selesai disudahkan kami menikmati pula 'Tiramisu' yang pesan sebagai hidangan pencuci mulut. Ianya dihidangkan bersama dengan ulas-ulas limau serta hirisan-hirisan epal yang disusun kemas.

Ianya menyempurnakan hidangan makan malam Puan Lucky dan Encik Beanie yang sudah pasti akan membawa AKS Bertiga di masa yang akan datang untuk sama-sama menikmati hidangan di sini.

Tetapi untuk malam ini biarlah ianya menjadi pentas romantis kami berdua dalam menghangatkan rasa cinta yang didoakan agar terus berkekalan hingga akhir hayat.


......

Jumaat, 19 Disember 2008

Sudah Dua Belas Tahun

Pejam celik, tup-tup sudah dua belas tahun Encik Beanie dan Puan Lucky diijab-kabulkan sebagai suami-isteri.

Dua belas tahun.

Lama jugak, kan?

Kalau beranak setahun seorang, Encik Beanie sudah boleh tubuhkan pasukan bolasepaknya sendiri, paling tidak sudah layak untuk masuk gelanggang futsal.

Tapi tidaklah pula Encik Beanie sekejam itu untuk menyeksa Puan Lucky yang akan mengalami alahan yang teruk setiap kali berbadan dua. Dua belas tahun berlalu, pasti Puan Lucky dah jadi macam lidi.

Sesi makan-makan bersama orang tersayang untuk meraikan hari yang bermakna seperti ini sudah seperti menjadi suatu kemestian.

Puan Lucky memilih untuk menikmati 'Fish and Chips'...

...sementara 'Supreme of Chicken Forest' menjadi pilihan Encik Beanie.

Ianya disudahkan dengan 'Pingu Family Ice Cream' yang terdiri dari lima 'scoop' ais-krim (vanila, cokelat, jagung, strawberi dan keladi) untuk Encik Beanie...

...sementara penyudah buat Puan Lucky ialah 'Banana Fritters a'la Mode'.

Tetapi bukan kami berdua sahaja yang menikmati hidangan-hidangan di atas. AKS berdua sudah tentu akan ada bersama walaupun masing-masing sudah pun menghabiskan dua keping roti canai sebelum ke sini (termasuk juga Encik Beanie yang menghabiskan tiga keping).

Oh ya, di mana kami makan-makan tadi?

Buat pertama kalinya kami berempat menikmati apa yang disediakan di dalam menu di Felda D'Saji Jintan Brasserie yang terletak di tingkat 17 Hotel Felda Residence.

Apa yang boleh kami katakan ialah ianya suatu pengalaman yang tidak mengecewakan dan berbaloi dengan apa yang dibayar.

Lain kali, insha-Allah kami akan datang lagi.

...