Ahad, 17 Mac 2013

Semua Purple

Hari ini Puan Lucky bersama dengan lebih sejuta wanita seluruh Malaysia berjalan dalam program "1 Million Women Purple Walk"


Pagi-pagi sudah paksa Encik Beanie bangun dan hantar ke Taman Rekreasi Batu Buruk. Acara berjalan bermula lebih kurang pukul 9 pagi, jalan-jalan sampai Dataran Shahbandar.

Khamis, 3 Februari 2011

Gi Bbeteng

Sebagaimana kebiasaan, apabila ada cuti yang panjang maka keluarga Puan Lucky akan berkumpul untuk sesi makan-makan bersama. Sempena dengan cuti Tahun Baru cina yang panjang ini, dengan quorum yang mencukupi maka satu sesi makan-makan diadakan di Bbeteng, Taman Tamadun Islam.

Nina bersama sepupu-pupunya menikmati roti telur.

Berg dengan ABC

Puan Lucky bersama dengan Encik Beanie menikmati hidangan 'ringan' sahaja

Sementara itu Lisa lebih suka untuk merayau-rayau menikmati persekitaran yang luas itu.


...

Rabu, 2 Februari 2011

Arnab Sudah Datang lor

Perayaan Tahun Baru Cina disambut dengan meriah di Kuala Terengganu. Tumpuan sambutan sudah semestinya di Kampung Cina yang kini sudah berwajah baru dengan siapnya fasa 1 projek penebusan semula tanah yang kini sudah membentuk sebuah pulau baru yang dinamakan Pulau Warisan.

Encik Beanie berjalan tanpa Puan Lucky malam itu. Laluan melalui Kampung Cina ditutup untuk lalu-lintas. Ianya menjadi laluan pejalan kaki bermula dari Pasar Kedai Payang sehingga persimpangan Tokong. Beberapa kedai dihias cantik dalam pertandingan 'Hiasan Tercantik Sambutan Tahun Baru Cina'.

Ketika Encik Beanie tiba sebuah okestra Cina sedang membuat persembahan lagu-lagu sambutan tahun baru. Okestra tersebut dianggotai oleh para remaja yang mempunyai bakat dalam memainkan instrumen yang berkaitan.

Selepas menikmati persembahan musik Encik Beanie berjalan-jalan lagi. Di sebuah kedai, suatu demonstrasi kaligrafi Cina sedang dijalankan. Mungkin juga ianya bertujuan untuk pertandingan di mana banyak kain merah yang ditulis dengan kaligafi Cina dipertontonkan.

Seperti juga Seni Khat Jawi, kaligrafi Cina ialah suatu cabang seni yang amat menarik untuk diterokai.

Sedang Encik Beanie leka memerhatikan demonstrasi kaligrafi tersebut, terdengar pula bunyi gendang yang dipalu dengan kuat dari arah sebuah pentas yang didirikan di sebuah kawasan lapang. Rupa-rupanya malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan akrobat dari pengamal akrobat dari China.

Persembahan mereka amat bertenaga dan apa yang dilakukan amat menakjubkan. Sudah pasti ianya hasil dari sifat dedikasi kepada rutin dan latihan yang tidak berbelah bahagi sejak dari usia muda lagi.

Malam tahun baru Cina yang meriah ini merupakan peluang untuk para peminat foto untuk merakamkan saat indah dan menarik tersebut menggunakan gajet mereka. Di samping itu tidak kurang juga yang datang bersama model mereka sendiri yang menggunakan kesempatan tersebut untuk menimba pengalaman beraksi di khalayak ramai.

Encik Beanie lebih suka merakamkan suasana secara kandid dan juga suasana persekitaran yang berlaku ketika itu kerana ianya lebih menarik.

Buat semua masyarakat Cina, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina!


...

Isnin, 10 Januari 2011

Selamat Pulang




Welkam bek.....
Untuk seorang kawan lama yg berada di negara kiwi selama beberapa tahun untuk mendapatkan panggilan Dr....
Apa yang berubah? 
Kawan ini dah nak ada title Dr...saya pula bertukar status daripada ibu beranak dua kepada ibu beranak tiga sepanjang kami berpisah... 
Walaubagaimana pun itu sudah boleh dikira satu kemajuan buat saya dan banyak kemajuan buat Dr Akmalia Mohamad Ariff (to be)....

Isnin, 3 Januari 2011

Tahun Baru, Sekolah Baru

Rentetan kemenangan pasukan Malaysia dalam Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini telah menyaksikan rakyat Malaysia diberi 'bonus' dalam bentuk cuti umum pada hari Jumaat, 31-12-2010.

Tetapi pada hari tersebut warga Terengganu sudah pun berhujung minggu. Lantas untuk membolehkan semua rakyat Malaysia termasuk juga yang berada di Terengganu, Perlis dan Kelantan mendapat menikmati habuan Harimau Malaya, maka cuti tersebut dibawa kepada hari Ahad, 02-01-2011.

Ianya sekaligus menganjak permulaan hari bersekolah kepada hari berikutnya, di mana buat kali pertama dalam masa beberapa tahun hari pertama persekolahan di seluruh negara bermula pada hari yang sama.

Lantas Puteri Bongsu Puan Lucky dan Encik Beanie turut memulakan hari pertamanya di suasana baru Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) lewat sehari dari yang dijadualkan.


Selepas menghantar AKS#2 di sekolahnya pada jam 6.50 pagi (Rasa seperti di Lembah Kelang pulak) Encik Beanie memandu Che Mat di jalanraya yang masih lagi belum sibuk. Tetapi sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah, kenderaan mulai banyak.


Dengan sebuah sekolah rendah berjiran dengan SHAMS maka kami berdua tidak hairan dengan keadaan tersebut. Sudah pasti ramai ibubapa turut sama menghantar anak-anak mereka yang berada di Tahun Satu di sekolah berkenaan lantas menyaksikan bilangan kenderaan yang banyak itu.


Proses pendaftaran mudah dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SHAMS, Ustaz Rosli banyak membantu. Ianya menyaksikan Puan Lucky dan Encik Beanie meninggalkan perkarangan sekolah tersebut sebelum perhimpunan pagi bermula.

Selepas setahun yang 'traumatik' di SMAAZA buat Puteri Bongsu mereka, maka Puan Lucky dan Encik Beanie berharap agar suasana di sekolah baru ini lebih sesuai dengan Berg dan menamatkan segala permasalahan dan rungutan yang sering ditimbulkan ketika berada di sekolah lamanya itu.

Mudah-mudahan begitulah kehendakNYA jua.


...

Sabtu, 25 Disember 2010

Jalan-jalan Jengok Aslan

Hari Jumaat ialah hari yang santai buat Encik Beanie dan Puan Lucky. Kebiasaannya dihabiskan dengan aktiviti santai tanpa perlu bergegas ke sana dan ke mari. Tetapi ada kalanya sesuatu idea timbul secara spontan dan terus sahaja kami berdua bersama dengan AKS bertiga melakukan sesuatu mengikut idea tersebut.

Sedang dia menghabiskan waktu pagi menunggu ahli keluarganya bangun dari alam mimpi mereka, tiba-tiba timbul idea dalam fikiran Puan Lucky untuk ke Mesra Mall di Kerteh. Idea itu disampaikan kepada Encik Beanie yang terus sahaja bersetuju tetapi kami sama-sama merahsiakannya dari pengetahuan AKS bertiga.

Selepas Encik Beanie pulang dari menunaikan solat Jumaat dan kami semua menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh Puan Lucky, akhirnya kami terus bersiap dan bertolak ke Kerteh.

Perjalanan santai dengan hanya satu persinggahan di Rantau Abang untuk mengisi minyak dan menunaikan solat Asar. Selepas kami berdua selesai melakukan kedua-duanya dan masuk ke dalam kereta, tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang dari Masjid Rantau Abang berhampiran.

Rupa-rupanya jam di kereta Cik Putih cepat hampir dua puluh minit.

Maka kami menunaikan solat Asar sekali lagi sebelum meneruskan perjalanan ke Mesra Mall. Tibanya di sana AKS bertiga bersorak riang apabila diberitahu kami semua akan menonton wayang di Tanjung Golden Village buat pertama kalinya di mall tersebut. AKS #3 lebih kepada mengikut apa yang dilakukan oleh kakak-kakaknya sahaja.


Selepas menyemak skrin yang memaparkan filem-filem yang ditayangkan akhirnya yang tinggal hanya filem pengembaraan kanak-kanak: Narnia-Adventure of the Dawn Trader yang sesuai dari pilihan-pilihan lain iaitu Janin, Aku Masih Dara dan Hantu Mak Limah Kembali. Pilihan dibuat lebih berdasarkan kepada waktu tayangan.

AKS#1 kurang bersetuju, mungkin kerana merasakan dirinya sudah terlalu dewasa untuk cerita sedemikian. Kalau dia dapat memilih sudah pasti 'Aku Masih Dara' yang menjadi pilihan.

Puan Lucky pula melampiaskan hajatnya untuk menikmati donut Big Apple sementara menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung. Sebaik sahaja di dalam panggung kami mengambil tempat yang agak ke depan sedikit iaitu di barisan C kerana pilihan yang agak terhad ketika membeli tiket.


Lisa pada mulanya agak ketakutan dengan bunyi bising kesan bunyi dari paparan tayangan akan datang tetapi selepas Puan Lucky menutup sedikit telinganya barulah dia mula menonton dengan agak tenang.

Untuk dua jam seterusnya kami di bawa kembali ke alam fantasi Narnia dan ternyata ianya menghiburkan dan buat Lisa dia juga seperti seronok dengan pengalaman pertamanya menonton wayang. Tetapi dia lebih suka dengan 'end credits' di mana di bangun dan menari dengan gayanya sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang dimainkan.


Seterusnya kami singgah di kedai Roti Tempayan Kerteh untuk makan malam di mana Puan Lucky memesan koey teow goreng bersama dengan roti tempayan berkuah kambing untuk dirinya sementara Encik Beanie memilih untuk menkmati nasi goreng pattaya. Nina dengan pilihan berbeza kali ini, roti canai telur sementara Berg memesan lauk paprik berserta nasi putih.

Perjalanan pulang yang santai juga menyaksikan kami tiba di rumah lebih kurang pukul 1 pagi, mengakhiri satu hari yang menyeronokkan buat kami sekeluarga.


...

Ahad, 19 Disember 2010

10 + 4 atau 15 - 1 atau 7 x 2

Dalam diam tak diam dah empat belas tahun Puan lucky dan Encik Beanie bersama. Suatu majlis aqad nikah yang ringkas dan sederhana pada hari ini dalam tahun 1996 menyaksikan penyatuan hati sepasang lelaki dan wanita yang seterusnya berterusan sehingga hari ini.

Puan Lucky dan Encik Beanie memanjat syukur kepada-NYA dengan kurniaan cahayamata dan zuriat yang diharapkan akan menjadi insan yang menjadi manusia. Namun untuk sambutan ke 14 ketiga-tiga cahayamata tersebut ditinggalkan di rumah meninggalkan mereka berdua sahaja menikmati hidangan makan malam.




Walaupun kami lebih suka menikmati makanan di luar untuk menikmati udara malam yang segar dan dingin tetapi angin monsun yang agak kuat serta hujan yang turun secara rintik-rintik membuatkan kami memilih untuk menikmati hidangan makan malam kami di dalam.

Ianya hidangan makan malam ulangtahun perkahwinan yang ringkas. Puan Lucky memilih untuk menikmati 'lamb rack' sementara 'grilled salmon served with pasta' menarik selera Encik Beanie.

Perkhidmatan yang diberikan ternyata tidak mengecewakan dan kami tidak perlu menunggu lama untuk menikmati hidangan yang dipesan. Ternyata ianya tidak mengecewakan dan bersesuaian dengan harga yang dikenakan.

Hidangan tersebut mengenyangkan dan kami berdua mengambil masa untuk menikmati sepenuhnya kesedapannya, tambahan pula memang tiada apa yang perlu dikejarkan dan kami percaya AKS pertama sudah mampu memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua adiknya.

Selepas hidangan selesai disudahkan kami menikmati pula 'Tiramisu' yang pesan sebagai hidangan pencuci mulut. Ianya dihidangkan bersama dengan ulas-ulas limau serta hirisan-hirisan epal yang disusun kemas.

Ianya menyempurnakan hidangan makan malam Puan Lucky dan Encik Beanie yang sudah pasti akan membawa AKS Bertiga di masa yang akan datang untuk sama-sama menikmati hidangan di sini.

Tetapi untuk malam ini biarlah ianya menjadi pentas romantis kami berdua dalam menghangatkan rasa cinta yang didoakan agar terus berkekalan hingga akhir hayat.


......