Pagi Jumaat bermula dengan langit yang suram. Hujan turun rintik-rintik sejak dari semalam menambahkan kesejukan yang dirasai. Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan rumah.
Pemandu dan penumpang kereta berkenaan membawa berita yang menyedihkan. Kematian telah menjemput salah seorang dari ahli keluarga kami.
Selepas menikmati juadah pagi di Kari Asha dan 'menapau' sarapan untuk kedua-dua Ainnur, kami pulang ke rumah dan bersiap bersama dengan Cik untuk menziarahi si mati, anak saudara kepada Cik, bermakna dia ialah sepupu aku.
Hujan terus turun sepanjang perjalanan.
Sebenarnya aku tidak suka menghadapi suasana sebegini. Mungkin disebabkan oleh aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada keluarga yang telah pergi itu. Memang aku mengenali mereka, tetapi dalam keadaan sekarang bukanlah tempat untuk bertukar berita dan gosip semasa.
Maka aku akan duduk di suatu sudut, menyendiri dan berharap tiada yang akan datang menyapa atau cuba memulakan perbualan dengan aku. Bukanlah berniat untuk menjadi sombong tetapi bimbang sekiranya ada kata-kata yang boleh menambah kesedihan yang dirasakan.
Allahyarhamah meninggal lebih kurang sejam sebelum azan Subuh berkumandang tanpa menderita apa-apa penyakit. Sepanjang pengetahuan aku begitulah keadaannya, tidak sakit.
Ianya membenarkan sabda Rasul-Allah (s.a.w.) yang mengingatkan kita bahawa "mati akan datang dengan tiba-tiba".
Adakah kita beringat?
Al-Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan