Khamis, 30 Oktober 2008

Nasi Ayam Kegemaran

Nina memang suka makan nasi ayam. Terutama apabila ianya dari Restoran Nurul Iman, Batu Buruk. Ianya memang terkenal di kalangan warga kota Kuala Terengganu sehinggakan tiada tempat duduk jika lewat tiba di waktu makan tengahari.

Ianya ringkas tetapi sedap ditambah pula dengan servis yang pantas dan mesra. Mungkin disebabkan sudah terlalu kerap ke sini maka wajah Encik Beanie sudah terpahat dalam kotak memori pekerja-pekerja di sana.

Hari ini Berg membawa teman sekolahnya bersama untuk menikmati hidangan tengahari ini.

Sementara itu Nina sudah tidak menghiraukan dunia ketika dia sedang menikmati nasi ayamnya. Mungkin makanan lain yang mampu memberikan efek yang sama ialah roti canai.

Buat Puan Lucky dan Encik Beanie, asalkan AKS berdua ini cukup makan, sudah cukup menyenangkan.

Esok nak makan apa pulak ya?

...



...

Rabu, 29 Oktober 2008

Kembali ke Dungun.

Kebanyakan masa remaja Encik Beanie dihabiskan di Dungun, maka tidak hairanlah sekiranya pekan kecil yang sudah mendapat status Perbandaran itu mempunyai tempat yang istimewa dalam hatinya.

Apabila timbul peluang untuk ke Dungun, jarang sekali dia akan menolaknya.

Peluang itu timbul semalam apabila Puan Lucky hendak ke Dungun kerana perlu mengakses pengkalan data yang terdapat di UiTM Dungun. Maka, selepas menghantar AKS berdua ke sekolah kami terus sahaja berlepas.

Sesampai sahaja di sebuah kampung yang diberi nama Pasir Puteh, pandangan Encik Beanie terarah kepada sekumpulan burung sedang berlegar-legar di udara, suatu pandangan yang agak jarang dilihat.

Namun setelah diamati, rupa-rupanya ianya bukanlah kumpulan burung, tetapi sekumpulan penerjun berpayung sedang membuat penerjunan mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka dari mana-mana pasukan bersenjata atau tidak.

Sesampai di sana Puan Lucky terus sahaja ke Perpustakaan Cendiakawan sementara Encik Beanie berjalan-jalan di sekitar kampus untuk meihat sendiri perubahan yang sudah berlaku sejak dia meninggalkan kampus ini dalam tahun 1991.

Padang di mana dia bermain bolasepak mewakili ITMCT dahulu masih ada bersama dengan stadium mini yang sudah diberi wajah baru. Kini stadium mini tersebut mempunyai pentas VIP dan juga tempat duduk plastik yang lebih selesa dari dahulu.

Kawasan yang digunakan untuk berkumpul oleh Encik Beanie dan rakan-rakannya dahulu juga sudah dinaik-tarafkan dengan lantainya yang sudah dipasang dengan jubin, membolehkan majlis diadakan dalam suasana yang cantik dan selesa.

Namun, apa yang menarik perhatian Encik Beanie ialah kewujudan bangku-bangku ini. Sungguh tidak disangka hayatnya masih panjang kerana ianya sudah ada di situ sejak dari tahun 1988 lagi.

Bangku-bangku itu pasti telah banyak menyaksikan pelbagai drama dan peristiwa, seperti bagaimana seorang pelajar wanita menangis selepas diberitahu oleh teman lelakinya bahawa hubungan mereka sudah berakhir (Encik Beanie hanya pemerhati dalam kes ini, sama seperti bangku itu).

Pasti ianya juga digunakan untuk sesi pergambaran oleh wajah-wajah ceria mereka yang akan menamatkan pengajian.

Ini ialah beberapa rakaman di sekitar kampus, di mana bilik-bilik kuliah di mana Encik Beanie hadir dengan jayanya (kecuali kebanyakan kelas pukul 2 petang).

Ini ialah pandangan dari pintu masuk blok pentadbiran, di mana di zaman Encik Beanie dahulu terletaknya 'pigeon hole' yang selalu sahaja dilawati oleh mereka yang selalu menerima surat (termasuk Encik Beanie ke tu?)

Kawasan di hadapan perpustakaan kini sedang menjalani proses renovasi maka Encik Beanie merakamkan gambar dari sebelah tepi sahaja.

Sedar tidak sedar, sudah tiba waktu makan tengahari. Kalau dahulu para pelajar terpaksa pergi agak jauh untuk menikmati sesuatu yang istimewa, kini Hotel UiTM terletak di dalam kawasan kampus membolehkan warga kampus UiTM menikmati hidangan yang disediakan oleh chef yang berpotensi.

Segelas air epal untuk Encik Beanie sementara Puan Lucky yang mengelami sakit tekak hanya memilih untuk menikmati air suam sahaja.

Apa yang dipilih oleh Encik Beanie? Sepinggan nasi goreng Yong Chow...

...sementara Puan Lucky memilih untuk menikmati hidangan dari laut yang dimasak secara masam manis. Kuantitinya amat banyak dan rasanya juga sedap membuatkan ianya berbaloi.

Begitulah kisah perjalanan kembali ke Dungun.


...

Ahad, 26 Oktober 2008

Santai di Belakang Rumah.

Hujung minggu kebiasaannya Encik Beanie malas hendak keluar dari rumah kerana kebiasaannya ianya akan sesak dengan mereka yang ingin bersantai bersama keluarga di tempat-tempat rekreasi dan santai.

Tetapi mungkin disebabkan oleh Puan Lucky yang walaupun diarahkan oleh doktor supaya banyakkan rehat masih ingin berjalan-jalan makan angin, akhirnya Encik Beanie keluar juga bersama dengan AKS berdua.

Kalau semalam kami ke pantai, kali ini kami tidak pergi jauh, cuma belakang rumah kita orang sahaja.

Inilah belakang rumah kita orang.

Taman Tamadun Islam.

Tidak disangka ramai juga pengunjung yang datang walaupun hari hujan.

Tetapi mungkin juga disebabkan di Dewan Konvensyen TTI diadakan Konvensyen UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang berlangsung sejak dari pagi lagi.

Tetapi kami ke sana bukanlah hendak berkonvensyen, tetapi menyantaikan diri. Ternyata, Puan Lucky dengan tenang menyantaikan diri di atas dek terapung yang dibina untuk memberikan lebih keselesaan kepada mereka yang datang berkunjung dengan menaiki bot.

Nina membuat aksi merajuk selepas permintaannya untuk menaiki tren mini mengelilingi TTI ditolak oleh Encik Beanie. Namun 'daddy'nya berjanji untuk membawa dia menaiki tren tersebut sebelum tahun 2008 melabuhkan tirai.

Lambat lagi, kan? Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ianya ada di belakang rumah kita orang sahaja, kan?

Hari ini Berg menjalankan tugas melipat pakaiannya dengan baik walaupun pada masa yang sama akan bercakaran dengan Nina, sebagaimana lazimnya setiap hari antara mereka berdua.

Encik Beanie tidak melepaskan peluang untuk 'enterprem' dengan Masjid Kristal menjadi latar-belakangnya.

Memandangkan hari semakin gelap maka kami pun beredar untuk pulang ke rumah yang hanya lima hingga sepuluh minit perjalanan dari TTI, dekat kan?

Jadi sesiapa yang bercadang nak melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bolehlah singgah sebentar di rumah kami.


...

Sabtu, 25 Oktober 2008

Mainan Baru

Apakah benda ini?

Tidak lain dan tidak bukan
mainan baru Puan Lucky dan Encik Beanie.


Selepas begitu lama bersabar,
akhirnya kami tidak mampu bertahan lagi.


Akhirnya kami melangkah ke kedai komputer
di Jalan Cerong Lanjut
(ada kenal ini tempat ke?)


dan memilih apa yang termampu
sejajar dengan belanjawan kami
(yang sememangnya tidak tinggi mana pun).

Maka kembalilah kotak ini bersama kami.

Dan terhasillah imej ini.
(Puan Lucky tidak mahu merakamkan imejnya di sini)


Tidak disangka,
banyak juga tempat boleh ber'wi-fi' kat kT rupanya.


Barulah kami tahu.


Y A H O O ! ! !

...

Sabtu, 11 Oktober 2008

Variasi Yang Bertambah

Sejak dua menjak jadi bandaraya semakin banyak perubahan yang dirasakan oleh kami 'warga-kota' kT.

Sekiranya lima tahun dahulu apa yang sering keluar dari mulut Puan Lucky dan Mr Beanie ialah kekurangan variasi dalam hidangan makanan, sama ada pagi, petang atau pun malam. Hidangan tipikal ialah nasi putih berlauk kampung, masakan panas ala Siam dan beberapa tempat yang sanggup menentang arus dengan menghidangkan masakan barat.

Namun kini warga-kota kT mempunyai pilihan untuk menjamu selera di tempat-tempat yang dahulunya tidak terdapat di sini. Antara yang dinantikan dahulu ialah restoran makanan segera MacDonald's.

Kemudian hadir pula Restoran Secret Recipe di Kampung Tanjung. Sambutan yang agak menggalakkan mungkin telah mendorong kepada sebuah lagi restoran yang mempunyai konsep yang hampir serupa cuba menempatkan diri di hati warga-kota kT.

Kafe Noodle Station mula beroperasi dalam bulan Ramadhan baru-baru ini bertempat di Pusat Perniagaan Paya Keladi. Kepada yang tidak biasa dengan nama tersebut, ianya berhampiran dengan Terminal Bas Bandaraya Kuala Terengganu dan Masjid Sultan Zainal Abidin.

Jadi selepas menghabiskan masa di sini Puan Lucky mencadangkan supaya kami singgah di kafe terbaru ini.

Ruang dalamannya memberikan suasana yang selesa walaupun aturan kerusi dan meja di bahagian luar agak menyesakkan dan menyukarkan pelanggan untuk bergerak.

Ianya juga mempunyai tingkap yang membolehkan kita melihat dapur kafe ini. Nina terus sahaja mengambil peluang untuk menjenguk dan merakamkan aksi para chef menyediakan hidangan-hidangan yang dipesan oleh para pelanggan.

Sebagaimana biasa Encik Beanie pasti memilih untuk menikmati cafe latte yang digemarinya sementara Puan Lucky mencuba sesuatu yang dipanggil 'I Love You Lemonade' (amaran: sekiranya anda amat dahaga jangan memesan minuman ini kerana gelasnya agak kecil).

Puan Lucky yang baru keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam berasa gembira dapat menikmati hidangan yang baru di kafe yang baru ini.

Inilah yang dipesan oleh Mr Beanie: Mee Wantan bersama dengan Ayam Bermadu BBQ yang dihidangkan bersama dengan 'dumpling' di dalam sup. Ianya hampir menepati citarasa Mr Beanie yang menggemari masakan yang tidak pedas.

Sementara itu Puan Lucky memilih untuk menikmati Mee Wantan yang dihidangkan bersama dengan peha ayam yang dimasak secara BBQ. Perbezaan antara hidangan dengan hidangan Mr Beanie ialah pesanan Puan Lucky dimasak dengan perisa lada hitam sementara hidangan Mr Beanie lebih berteraskan kicap (soy sauce).

Emmm... Mr Beanie menikmati hidangan mee wantan-nya.

Sementara Puan Lucky berkongsi kesedapan hidangannya bersama dengan Nina.

Sebagai pencuci mulut kami memilih untuk sama-sama berkongsi Sorbet Mangga yang ternyata amat menyejukkan yang boleh memberi 'brain freeze' sekiranya ianya disedut dengan banyak pada sesuatu masa... namun ianya berbaloi.

Mungkin ada yang tertanya ke mana perginya AKS #1.

Sayap Berg kini telah mula berkembang dan memilih untuk pergi berhari-raya di rumah kawannya, suatu pilihan yang mungkin tidak akan dibuat sekiranya perancangan lawatan ke Noodle Station ini dibuat lebih awal oleh Puan Lucky dan Mr Beanie dan bukan secara 'ad-hoc' seperti yang berlaku.

Walau apa pun, Kafe Noodle Station memberikan suatu variasi yang berbaloi buat perut para warga-kota kT ini.

...

Khamis, 9 Oktober 2008

Transfusi Buat Puan Lucky.

Pada awalnya keadaan Puan Lucky tidak begitu serius tetapi sesuatu telah merendahkan lagi kadar Hb dalam darahnya. Maka doktor tiada pilihan lain kecuali melakukan transfusi darah kepada Puan Lucky.

Maka ketika Encik Beanie tiba bersama AKS berdua petang semalam kelihatan beg darah ini tergantung di sebelah katil buah hati Encik Beanie itu.

Mujurlah dia tersengih-sengih sahaja menerima darah dari penderma yang budiman itu (kami ucapkan terima kasih di atas kesudian anda menderma, walau siapa pun anda)

Namun perkara sama tidak boleh digunakan buat KeBerg yang berasa loya apabila melihat darah. Mujurlah dia tidak pitam apabila Encik Beanie memicit-micit tiub darah untuk mempastikan ianya tidak membeku.

Apa yang pasti ialah AKS berdua ini terus sahaja bergembira di Taman Permainan Pantai Batu Buruk sebaik sahaja Encik Beanie selesai menunaikan solat Maghrib di Surau Kaca (Gelaran yang diberikan oleh Puan Lucky surau tersebut)

Harapannya semoga Puan Lucky tercinta akan segera mencapai tahap Hg yang diperlukan untuk membolehkan dia pulang ke rumah.

Selasa, 7 Oktober 2008

Sambutan Aidil-Fitri

Aidil-Fitri buat Puan Lucky kali ini disambut dalam keadaan 'perlahan'. Maklumlah, 'muatan' yang semakin membesar saban hari menghadkan mobiliti ke sana dan ke mari dengan kelajuan biasa.

Namun bukan bermakna hari lebaran kali ini tidak meriah.

Cuma yang tiada ialah rumah terbuka sendiri yang selalu Puan Lucky dan Encik Beanie untuk meraikan saudara-mara, rakan taulan dan unik buat Puan Lucky, pelajar-pelajar yang datang berkunjung.

Encik Beanie tetap ke dapur namun hidangan yang disediakan hanyalah pada skala 'mini' sahaja, cukup untuk hidangan saudara-mara terdekat sahaja. Insha-Allah Aidil-Fitri yang akan datang semuanya akan kembali normal, walaupun kehadiran AKS #3 mungkin sedikit-sebanyak akan mempengaruhi keadaan.

Silatur-Rahim yang jauh didekatkan semula dan kedatangan rakan lama begitu menceriakan Puan Lucky.

Di samping itu kehadiran kami ke rumah terbuka tetap ada dengan pelbagai juadah disediakan oleh tuan rumah, cuma atas selera dan kehendak para tetamu yang menentukan sama ada ianya akan menjadi pilihan para tetamu.

Namun sungguh bagai dikata; 'Sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari'.

Pemeriksaan bulanan di klinik ibu mengandung menunjukkan bahawa kandungan 'haemoglobin' Puan Lucky rendah lantas terus sahaja doktor yang bertugas menyuruh dia dimasukkan ke dalam wad, sesuatu yang tidak ingin dilakukan sementara suasana lebaran masih terasa.

Namun, selepas menangguh kemasukan itu selama sehari akhirnya Puan Lucky masuk juga ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan bertemu semula dengan para jururawat yang seperti sudah biasa dengan kehadiran wanita mengandung anak ke-tiga ini.

Harapan Encik Beanie semoga semoga segera sembuh dari anemia dan ini dapat dicapai dengan kadar Hb Puan Lucky akan meningkat ke tahap yang diperlukan demi kesihatan beliau dan juga AKS #3 yang menurut doktor bertugas berada dalam keadaan sihat sewaktu diimbas.

...